fbpx
Now Reading
Majikan Wajar Potong Gaji Jika Pekerja Mahu Bekerja Dari Rumah, Kata MEF

Majikan Wajar Potong Gaji Jika Pekerja Mahu Bekerja Dari Rumah, Kata MEF

Namun menurut MEF lagi, ada juga pihak yang merasakan tindakan itu tidak wajar kerana pekerja tetap bekerja seperti biasa sama dengan rutin di pejabat.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) merasakan ada kewajaran untuk memberikan gaji lebih kecil termasuk memotong elaun perjalanan sekiranya pekerja memilih untuk bekerja dari rumah (BDR).

Menurut Pengarah Eksekutif MEF Datuk Shamsuddin Bardan, ada di kalangan pekerja yang bersetuju dengan langkah tersebut memandangkan bekerja dari rumah sudah menjimatkan kos pergi dan balik dari tempat kerja.

Jika ada pengurangan, mungkin sekitar 10-12%

“Sebenarnya ada berbagai-bagai pendapat mengenai sama ada wajar BDR itu dibayar lebih kecil tetapi banyak syarikat kata kalau ada pengurangan, ia tidak harus banyak iaitu antara 10 hingga 12%.

“Ini dilakukan sebab faktor tertentu di mana kalau kita lihat ada sesetengah syarikat memberikan elaun pergi dan balik bekerja.

“Maknanya elaun perjalanan tidak harus diteruskan jika pekerja bekerja dari rumah. Ada pekerja memilih gaji kurang apabila dibanding dengan ulang alik tempat kerja di mana kos boleh dikurangkan, itu antara faktor diambil jika mereka boleh turunkan gaji pekerja dari rumah,” katanya dipetik dari Astro Awani.

Foto : Vlada Kaprovich

Ada juga yang tidak setuju

Namun menurut beliau lagi, ada juga pihak yang merasakan tindakan itu tidak wajar kerana pekerja tetap bekerja seperti biasa sama dengan rutin di pejabat.

“Namun pada akhirnya, perkara itu bergantung kepada pilihan pekerja itu sendiri sama ada untuk menerima potongan elaun tertentu dan bekerja dari rumah atau memutuskan untuk mengeluarkan kos perjalanan dan bekerja di tempat kerja,” ujarnya lagi.

Ramai majikan tidak mahukan BDR atau secara hibrid

Menerusi tinjauan yang dilakukan MEF, kebanyakan majikan dilihat tidak mahu meneruskan amalan BDR atau bekerja secara hibrid.

“Ini bermakna, apabila kita memasuki fasa peralihan ke endemik ini, kebanyakan majikan memilih untuk beroperasi dari tempat kerja. Namun, jika pekerja bekerja dari rumah tidak bermakna mereka boleh menurunkan produktiviti mereka,” katanya.

Terdahulu agensi pengambilan pekerja terbesar di Asia Pasifik, PROKELLY mendedahkan peralihan trend bekerja menjadikan Malaysia antara empat negara teratas di Asia Pasifik termasuk India, Singapura dan Korea Selatan, di mana pekerja memilih untuk bekerja secara hibrid berbanding di pejabat.

Malah hampir 50% syarikat di Malaysia sudah bersedia untuk mempraktikkan trend bekerja secara hibrid dalam tempoh terdekat ekoran dari cabaran mendesak yang dicetuskan COVID-19.

“Dapatan ini jelas menunjukkan pekerja tempatan di Malaysia terus bergantung kepada pengurusan kerja secara hibrid dan persekitaran jarak jauh pada masa akan datang.”

Pengarah Urusan dan Ketua Negara PERSOLKELLY Malaysia, Brian Sim.

Kredit Foto : Pexels (Vazhnik/Ketut Subiyanto)

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.