fbpx
Now Reading
Mungkin Ada Yang Tak Tahu, Perak & Johor Pernah Sambut Hari Raya Aidilfitri Awal Sehari Pada 1983

Mungkin Ada Yang Tak Tahu, Perak & Johor Pernah Sambut Hari Raya Aidilfitri Awal Sehari Pada 1983

Peristiwa sebegini tidak akan berlaku lagi kerana negara kita sudah mula menggunakan kaedah pengiraaan yang lebih sistematik dan tepat untuk menentukan tarikh Hari Raya Aidilfitri iaitu menggunakan kaedah imkanurukyah.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Baru-baru ini kecoh di media sosial apabila segelintir netizen mendakwa menerima mesej berantai yang kononnya umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri satu hari lebih awal daripada yang dijangkakan.

Menerusi mesej yang tular, 1 Syawal akan jatuh pada Isnin (2 Mei) iaitu 1 hari lebih awal berbanding tarikh yang terdapat pada kalendar iaitu 3 Mei.

Sehubungan itu, Balai Cerapan Al-Khawarizmi tampil menafikan perkara tersebut dan menyifatkan maklumat yang diberikan adalah tidak tepat.

Menurutnya, kaedah penetapan awal bulan Islam di Malaysia adalah secara imkanurukyah (rukyah dan hisab) justeru sebarang pemakluman awal adalah tidak benar sehinggalah hasil keputusan rukyah pada 29 Ramadan 1443H diterima dan selesai dilakukan.

Baca artikel berkaitan : Dakwaan Hari Raya Aidilfitri Jatuh Pada 2 Mei 2022 Adalah Tidak Tepat

Isu tersebut mengingatkan kami pada satu kisah yang berlaku suatu masa dahulu di mana negeri Perak dan Johor pernah beraya satu hari lebih awal berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.

Pertama dan terakhir berlaku di Malaysia

Kisah yang berlaku pada 1983 ini merupakan pertama dan yang terakhir yang pernah berlaku di negara kita dan dipercayai berlaku di zaman pemerintahan Sultan Perak, Almarhum Sultan Idris Shah dan Sultan Johor, Almarhum Sultan Iskandar.

Nelayan terlihat anak bulan

Menurut perkongsian Orang Perak, pada tahun itu sekumpulan nelayan yang berada di lautan telah ternampak anak bulan.

Berita tersebut kemudian mula tersebar sebaik mereka naik ke daratan. Dakwaan berkenaan kemudian dikuatkan dengan pengesahan oleh pihak marin yang bertugas di laut pada waktu itu.

Akan tetapi, tiada rekod dan bukti khas untuk mengukuhkan kenyataan ini dalam menjadi permulaan kepada sambutan perayaan awal sehari di negeri Perak dan Johor.

Sebaliknya ia mungkin ada kaitan dengan kertas laporan Sejarah Kriteria Kenampakan Anak Bulan di Malaysia di mana ianya berlaku disebabkan kedua-dua negeri ini menyambut 1 Ramadan lebih awal iaitu pada 12 Jun 1983 berbanding di di peringkat kebangsaan pada 13 Jun kerana mengikut kaedah anak bulan ada di atas ufuk (wujud al-hilal).

Berbalik kepada kisah berkenaan, berita tersebut kemudian sampai ke pengetahuan mufti di mana beliau kemudian memutuskan ia perlu dimaklumkan terus kepada Tuanku Sultan Perak kerana baginda mempunyai kuasa penuh dalam mengisytiharkan Hari Raya.

Perkhabaran berkenaan kemudian telah dipanjangkan kepada Almarhum Tuanku Sultan. Yakin dengan kesahihan maklumat tersebut, Baginda terus mengarahkan semua jentera kerajaan negeri untuk memaklumkannya kepada semua rakyat di negeri itu melalui institusi kerajaan negeri.

Perkara sama turut berlaku di Johor, dan hasilnya seluruh negeri Perak dan Johor telah menyambut Hari Raya Aidilfitri sehari lebih awal dari negeri-negeri lain.

Sambutan di dua negeri ini bagaimanapun sama dengan negara-negara jiran seperti Indonesia, Brunei dan Singapura.

Hebahan hanya menggunakan pembesar suara

Jabatan Penerangan dan pihak polis yang menerima arahan kemudian telah menggunakan pembesar suara untuk mengumumkan berita tersebut ke seluruh bandar dan pelusuk kampung.

Timbul sedikit kekecohan

Namun disebalik pengisytiharan tersebut timbul sedikit kekecohan apabila ada dakwaan yang mengatakan terdapat sedikit perselisihan faham hingga hampir menyebabkan pergaduhan di kawasan sempadan Perak dan Selangor iaitu di Tanjung Malim pada hari raya pertama itu.

Ia berikutan segelintir penduduk di Perak telah beraya manakala penduduk negeri Selangor masih berpuasa.

Namun insiden hanya berlaku secara terpecil manakala keadaan lain di dalam negara dilaporkan dalam keadaan seperti biasa.

Malah peristiwa sebegini hanya berlaku satu kali dan tidak akan berlaku lagi kerana negara kita sudah mula menggunakan kaedah pengiraaan yang lebih sistematik dan tepat untuk menentukan tarikh Hari Raya Aidilfitri iaitu menggunakan imkanurukyah.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.