fbpx
Now Reading
Adik Beradik Jadi Piatu, Hilang Ibu Ayah Berselang 12 Jam Pada Syawal Kedua

Adik Beradik Jadi Piatu, Hilang Ibu Ayah Berselang 12 Jam Pada Syawal Kedua

Arwah emak mereka meninggal dunia pada jam 8 pagi disusuli arwah ayahnya pada jam 8 malam, pada hari yang sama.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Tiada siapa yang mampu menahan kesedihan apabila kehilangan ibu bapa tercinta. Lebih memilukan apabila pemergian kedua-dua mereka di saat umat Islam yang lainnya sedang bergembira menyambut Hari Raya.

Itu yang dialami seorang pengguna Facebook, Fatin Mohd Fakri dan dua adik beradiknya selepas ibunya Norsah Chik meningal dunia pada hari raya kedua diikuti arwah ayah, Mohd Fakri Abdullah selang 12 jam kemudian.

Ibu meninggal dunia 8 pagi, arwah ayah meninggal 8 malam.

Menurut Fatin, ibunya meninggal dunia di rumah mereka di Guar Chempedak, Sungai Petani kira-kira 8.48 pagi pada Selasa, 3 Mei 2022.

Hampir genap 12 jam, arwah bapanya pula meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), sekitar jam 8.50 malam.

“Mak meninggalkan kami jam 8:48 pagi, ayah pergi meninggalkan kami jam 8:50 malam.

“Perbezaan masa mereka pergi menghadap ilahi hanyalah pagi dan malam pada jam hampir sama di hari yang sama. Jodoh mereka di dunia tidak panjang namun mereka ‘dipertemukan’ semula di negeri abadi.

“Pergilah wahai mak dan ayah.. tenanglah engkau disana, kelak kami juga bakal menyusul. Al-fatihah” luah Fatin di Facebook.


Arwah emak mengidap kanser usus tahap empat

Menurut Harian Metro yang menghubungi kakak Fatin, iaitu Farahana Mohamad Fakri, ibu mereka pada mulanya telah dibawa menjalani pemeriksaan di Hospital Yan pada 5 April lalu selepas matanya mengalami kuning selain fizikalnya yang terlalu kurus.

Arwah kemudiannya dipindahkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) sebelum doktor yang melakukan pemeriksaan mengesahkan yang Allahyarhaman menghidap kanser usus tahap empat.

“Doktor pada mulanya mahu melakukan pembedahan namun selepas perbincangan, kami tiga beradik mengambil keputusan untuk membawa ibu pulang dan menjaganya secara bergilir,” katanya dipetik dari Harian Metro.

Dia dan adik beradik kemudian mula menjaga ibu mereka sehingga arwah menghembuskan nafas terakhir pada pagi Selasa.

“Malam sebelum ibu meninggal dunia, adik seperti biasa ke bilik tidurnya dan ketika itu dia melihat arwah sudah dalam keadaan lemah dan berbaring dengan kakinya menghadap kiblat.

“Kami adik beradik kemudiannya membaca surah Yasin sehinggalah arwah akhirnya menghembuskan nafas terakhir di sisi ahli keluarga dan kami reda dengan pemergiannya,” katanya.

Dapat panggilan dari hospital yang arwah ayah pula nazak

Namun siapa menduga, selang beberapa jam kemudiannya, adik beradik ini dikejutkan dengan satu panggilan dari doktor bahawa ayah mereka yang sedang menjalani rawatan di hospital sama berada dalam keadaan nazak.

“Sebaik tiba di hospital, saya sempat meminta maaf kepada bapa selain turut memberitahunya yang ibu sudah meninggal dunia walaupun bapa ketika itu sudah tidak sedarkan diri.

“Bagaimanapun, bapa disahkan meninggal dunia pada 8.50 malam oleh doktor akibat serangan jantung dan kami sekeluarga reda dengan pemergian dua insan tercinta pada hari yang sama,” katanya.

Foto : FB Fatin Nadia

Difahamkan arwah bapanya telah dimasukkan ke HSAH pada malam Sabtu lalu selepas mengadu sakit dada sebelum dia ditidurkan ketika menjalani rawatan.

Arwah bapa sempat menghubungi saya sebelum berbuka puasa memaklumkan yang dia dalam perjalanan ke hospital bersama rakannya kerana sakit dada.

“Saya sempat bertemu dengannya di hospital sebelum dia ditidurkan dan doktor ketika itu sudah memberitahu yang keadaan bapa sangat teruk,” katanya.

Tambah wanita ini lagi, jenazah ibu bapa mereka dikebumikan bersebelahan antara satu sama lain di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kolam, Guar Chempedak pada hari yang sama.

Urusan mengembukikan jenazah Allahyarhamah Norsah selesai selepas solat Asar pada Selasa manakala jenazah Allahyarham Mohd Fakri pada 12.10 tengah malam.

Urusan pengebumian diuruskan Skuad Hang Cangkul Murtadha Dakwah Centre (Madad) dan turut disertai keluarga dan Ustaz Yaakub Yusra.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.