fbpx
Now Reading
Kerana Nasi Goreng RM6, Lelaki Ditumbuk Oleh Pekerja Restoran [Video]

Kerana Nasi Goreng RM6, Lelaki Ditumbuk Oleh Pekerja Restoran [Video]

Bengang kerana jurujual itu meninggikan suara kepada ibunya, lelaki itu bertindak memarahi jurujual sebelum ditumbuk oleh individu lain.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Jika bercakap tentang makanan, sesiapa sahaja pasti akan kurang senang jika mendapat makanan yang tidak seperti yang diharapkan. Tambah mengecewakan jika kualitinya tidak sama dengan harga yang dibayar.

Situasi sebegini jika tidak ditangani dengan baik mungkin boleh berakhir dengan perbalahan atau lebih teruk lagi mencetuskan pergaduhan.

Dipukul oleh beberapa pekerja di sebuah restoran

Baru-baru ini, tular satu ciapan di Twitter oleh seorang lelaki yang menededahkan bahawa dia telah dipegang dan dipukul oleh beberapa pekerja di sebuah restoran di Bahau, Negeri Sembilan.

Menerusi perkongsian @shahrulnizammm, semuanya bermula apabila mereka sekeluarga telah singgah ke restoran tersebut pada lewat malam kira-kira jam 12.30 pagi kerana lapar.

Harga RM6 mahal untuk nasi goreng kosong dengan telur

Mereka kemudian membuat pesanan dengan memesan tiga nasi goreng, dua maggi goreng dan satu nasi lemak. Namun, apa yang mereka dapat adalah nasi goreng dan maggi goreng yang kosong dan tidak mempunyai sayur.

Sebaik menjamu selera ibu lelaki ini kemudian pergi ke kaunter untuk membayar makanan yang dimakan. Dia bagaimanpun tidak berpuas hati dengan harga yang diberikan dan menyifatkan harga RM6 untuk satu nasi goreng kosong tanpa sayur adalah agak mahal.

Juruwang itu kemudian mengurangkan seringgit dan jumlah untuk ke semua makanan lebih kurang RM45, dan ibunya berkata harga itu masih mahal untuk makanan yang mereka terima.

Juruwang meninggikan suara kepada ibu lelaki tersebut

Dakwa lelaki itu lagi, sebaik mendengar luahan ibunya, juruwang tersebut terus menjerkah dengan bertanya berapakah harga yang dimahukan oleh wanita itu

“Habis tu akak nak berapa? RM2? RM3?,” kata juruwang itu.

Lelaki tersebut yang berang dan terkejut ibunya dijerkah sebegitu telah bertindak memarahi juruwang tersebut sebelum dia dipegang oleh beberapa individu di restoran tersebut hingga berlaku pergelutan dan akhirnya cedera di beberapa bahagian badan.

Buat laporan polis

Susulan dengan insiden tersebut, lelaki itu kemudian telah pergi ke balai polis untuk membuat laporan berhubung kejadian itu.

Memetik laporan Kosmo!, Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, mangsa telah hadir membuat laporan pada jam 2.31 pagi semalam (5 Mei) dan mendakwa telah ditumbuk oleh seorang lelaki semasa di kaunter bayaran restoran itu.

Mangsa berang ambil kotak tisu dan baling ke arah juruwang

Menurut beliau, hasil siasatan menunjukkan punca insiden berlaku apabila juruwang restoran itu telah meninggikan suara kepada ibu mangsa yang mempertikaikan harga nasi goreng kosong dan telur yang bernilai RM6.

“Situasi ini menyebabkan mangsa berasa berang dan mengambil kotak tisu serta membaling ke arah juruwang menyebabkan terkena barang-barang di atas kaunter juruwang.

Ditumbuk oleh salah seorang pekerja restoran

“Salah seorang pekerja yang melihat perbuatan mangsa dan terus menumbuk mangsa. Beberapa pekerja yang melihat kejadian telah cuba meleraikan pergaduhan tersebut termasuk pelanggan yang berada di restoran tersebut,” jelasnya lagi.

Sementara itu, Chang Hook turut meminta pelanggan dan orang awam yang berada di dalam restoran tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan. Kertas siasatan akan dilengkapkan dengan seberapa segera untuk dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya,” ulas Chang Hook.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.