Kanak-Kanak 9 Tahun Guna Duit Raya Belikan Cincin Emas Untuk Ibu [Video]
Kanak-kanak itu memberikan cincin emas tersebut sebagai hadiah hari ibu dan tanda menghargai pengorbanan ibunya.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ibu merupakan seorang insan yang paling istimewa dalam kehidupan setiap orang, malah kita juga sanggup melakukan apa sahaja untuk membalas jasa mereka yang sudah bersusah payah membesarkan kita.
Baru-baru ini, tular satu video di TikTok yang memaparkan seorang kanak-kanak yang sanggup menggunakan duit raya dan wang simpanannya untuk membeli sebentuk cincin sebagai tanda penghargaan kepada ibu tercinta.
Hadiahkan cincin emas sebagai hadiah hari ibu.
Video tersebut telah dikongsikan oleh ibunya @leyana92 atau dikenali sebagai Noor Ileyana, 30, yang memaklumkan anaknya itu telah menghadiahkan cincin tersebut sebagai hadiah hari ibu untuknya.
Menerusi laporan Mingguan Wanita, ibunya memaklumkan Muhammad Adam Shah telah menjual bunga api ketika Ramadan yang lalu dan menyimpan wang berkenaan untuk membelikannya cincin emas.
Tak sangka guna duit raya dan simpanan untuk beli hadiah
“Saya juga memberinya upah kerana membantu di kedai inai pengantin saya, cuma tak sangka Adam (nama panggilan) gunakan wang itu dan duit raya diterima berjumlah RM1,500 untuk belikan saya cincin.
“Ikutkan, saya sudah ada cincin. Namun adam bersungguh untuk hadiahkan kerana menyimpan hajat itu sejak tahun lalu.
“Kami ke kedai emas kelmarin (Isnin) dan saya sekadar bantu tanya pekerja mengenai cincin mana yang boleh dibeli mengikut bajet Adam,” jelas Noor Ileyana.
Adam tak pernah berkira, mahu kumpul duit untuk tunai umrah
Menerusi video yang dimuat naik, Ileyana turut memberitahu bahawa adam tidak pernah berkira berkenaan duit dengannya, dan menyatakan selepas ini mereka akan mengumpul duit untuk menunaikan umrah pula.
Adam pesan perlu selalu pakai cincin emas yang diberikan
Ileyana berkata dia berasa terharu apabila mendapat hadiah tersebut dari anaknya itu, apatah lagi pemberian itu bukan sedikit nilainya. Malah adam turut berpesan agar hadiah tersebut hendaklah sentiasa dipakai.
“Dia beri saya hadiah itu mungkin kerana nampak saya susah payah cari rezeki membesarkannya walaupun kami sering bertekak.
“Bagaimanapun, saya ada beritahunya yang saya akan pulangkan semula cincin itu andai satu hari dia perlukan wang untuk sambung pengajian atau ada keperluan mendesak,” ulasnya lagi.
Bersyukur dan ucap terima kasih kepada yang mendoakan
Dia dalam masa yang sama turut bersyukur kerana perkongsian video di TikTok mendapat banyak respon yang positif serta mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah mendoakannya dan Adam.
“Alhamdulillah, rata-rata doakan yang baik. Saya juga doakan Adam berjaya capai impian bergelar jutawan muda suatu hari nanti,” kata Ileyana.