fbpx
Now Reading
Terdesak Nak Cucu, Pasangan Di India Saman Anak & Menantu RM2.8 juta

Terdesak Nak Cucu, Pasangan Di India Saman Anak & Menantu RM2.8 juta

Suami isteri ini bagaimanapun akan menarik kembali tuntutan itu sekiranya anak dan menantunya boleh memberikan mereka seorang cucu dalam tempoh setahun.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Bunyi macam pelik bukan? Namun itu yang terjadi di India apabila sepasang suami isteri nekad mengheret anak lelaki dan menantu mereka ke mahkamah gara-gara terlalu terdesak untuk menimang cucu.

Menurut laporan BBC, Sanjeev Prasad Sinha, seorang pesara dan isterinya, Sadhana Prasad memilih untuk menyaman anak lelaki mereka sebanyak AS$650,000 (RM2.8 juta) kerana telah ‘berhabisan wang’ demi membesarkannya.

Mereka bukan sahaja menanggung segala perbelanjaan harian dan pengajiannya dari lahir sehinggalah menjadi seorang juruterbang, malah telah berbelanja besar bagi melangsungkan majlis perkahwinannya yang mewah.

Bukan itu sahaja, pasangan dari Uttarakhand, India ini turut menghadiahkan kereta mewah berharga AS$80,000 (RM351,000) serta hadiah trip berbulan madu sempena perkahwinan anak dan menantunya itu.

Justeru dengan apa yang telah diberikan, mereka kini hanya mahukan ‘bayaran pulangan’ iaitu seorang cucu.

Foto : ANI

Dah 6 tahun kahwin tapi anak tiada rancangan untuk timang cahaya mata

Difahamkan keputusan itu diambil kerana anaknya masih belum merancang untuk mendapatkan cahaya mata meskipun sudah enam tahun berumah tangga.

“Anak lelaki saya sudah berkahwin selama enam tahun, namun, mereka masih belum merancang untuk mendapatkan anak.

“Sekurang-kurangnya, jika dapat menghabiskan masa bersama cucu, segala keperihan kami akan tertanggung.

“Kami juga terpaksa membuat pinjaman untuk membina rumah kami dan kini kami berdepan kesulitan kewangan.

“Secara mental juga kami agak terganggu kerana kami tinggal bersendirian,” kata pasangan warga emas itu kepada The National.

Mereka menuntut ganti rugi 50 juta rupee (RM2.8 juta), termasuk kos majlis perkahwinan di hotel lima bintang, kereta mewah bernilai AS$80,000 (RM351,273) dan membayar percutian bulan madu pasangan itu di luar negara.

Menurut peguam pasangan mereka, Arvind Kumar, petisyen tersebut akan didengar oleh mahkamah pada 17 Mei ini.

Suami isteri ini bagaimanapun akan menarik kembali tuntutan itu sekiranya anak dan menantunya boleh memberikan mereka seorang cucu dalam tempoh setahun.

© 2021 BuzzKini. All Rights Reserved.