Ibu Cuak Anak Terkunci Dalam Kereta, Tapi Dua Beradik ‘Berpesta’ Main Bedak [Video]
Kelihatan rambut serta badan si adik habis dipenuhi dengan bedak, manakala si abang masih leka bermain dalam kereta.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Insiden anak terkunci di dalam kenderaan sering kali terjadi di negara kita. Situasi seperti ini amat ditakuti dan pastinya membuatkan ibu atau bapa menjadi panik dek kerana khuatirkan keselamatan si anak yang berada di dalam kereta.
Lebih membimbangkan jika anak yang berada dalam kenderaan tersebut tertido atau tidak tahu bagaimana untuk membuka pintu kenderaan tersebut.
Oleh itu, pelbagai cara yang akan digunakan untuk membuka pintu tersebut termasuklah dengan memanggil anggota penyelamat seperti bomba.
Cemas anak terkunci dalam kereta
Baru-baru ini tular di laman TikTok satu video yang memaparkan seorang ibu cemas apabila dua orang anaknya terkunci dalam sebuah kenderaan.
Menerusi video yang dikongsikan oleh @asyaazainall, kelihatan beberapa anggota bomba yang cuba mengumpil pintu tersebut dalam usaha mereka menyelamatkan dua kanak-kanak berkenaan.
Habis berlumuran bedak satu badan hingga rambut
Namun, apa yang menarik perhatian netizen apabila melihat anak perempuan wanita berkenaan habis dilumur dengan bedak pada seluruh badan selepas pintu telah berjaya dibuka.
Manakala menerusi satu video lain yang dimuat naik, kelihatan anak perempuannya itu meronta-ronta mungkin kerana tidak selesa dan seperti sukar bernafas. Manakala si abang masih leka bermain dengan saki baki bedak yang telah ditaburkan di tempat duduk belakang.
Difahamkan sementara menunggu anggota bomba sampai ke lokasi kejadian, orang awam telah sedaya upaya cuba membantu untuk membuka pintu tersebut.
Cermin belakang tak nampak
Malah dapat dilihat cermin di tempat duduk belakang juga kabur dan tidak dapat dilihat dengan jelas kerana telah ditutupi dengan bedak.
Meninjau ke ruangan komen meskipun kejadian ini bahaya tetapi rata-rata netizen terhibur dek kerana keseronokkan dua beradik itu ‘berpesta’ bedak di dalam kenderaan tersebut.
Walau bagaimanapun, ada juga yang menasihati agar menyimpan kunci ‘spare’ untuk berjaga-jaga agar perkara seperti ini tidak berulang lagi.
Malah ada juga yang meminta agar ibunya untuk segera membawa dua orang kanak-kanak tersebut ke klinik untuk pemeriksaan lanjut, kerana bimbang akan keadaan anak wanita tersebut.