fbpx

Selepas Hampir 3 Dekad, Siri Animasi Keluang Man Bakal Difilemkan

Filem ini akan diterbitkan oleh Astro Shaw bersama dengan Iconic Animation Studio.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Siapa tak kenal siri animasi terkenal, Keluang Man. Ia merupakan siri animasi 90-an yang menjadi kegemaran kanak-kanak pada waktu itu. Bahkan orang dewasa turut menyukai siri animasi kartun yang sering ditonton di kaca televisyen.

Terbaharu, Astro Shaw telah menandatangani lesen hak cipta adaptasi filem bersama pemegang IP (Hak Intelek) Keluang Man, Iconic Animation Studio Sdn Bhd bagi menerbitkan filem aksi pertama Keluang Man.

Kerjasama ini merupakan usaha pertama yang dilakukan oleh Astro Shaw dan Iconic Animation Studio dalam memperkenalkan kembali siri animasi lagenda ini kepada generasi baharu di Malaysia.

Keluang Man merupakan siri animasi adiwira pertama tanah air yang diilhamkan oleh Allahyarham Haji Kamarudin Ismail atau lebih dikenali dengan panggilan Kamn Ismail bersama pengasas dan pemilik UAS Animation, Natashah Datuk Hj Md Noor dan pertama kali disiarkan pada tahun 1998.

Mempunyai 7 musim dengan lebih 140 episod, siri animasi lagenda ini cukup unik dengan gabungan di antara aksi seorang adiwira yang terinspirasi oleh keluang dan turut diselitkan dengan watak komedi di dalam animasi ini.

Dengan kehadiran filem baru Keluang Man yang akan diterbitkan ini, Astro Shaw dan Iconic Animation Studio komited untuk menghasilkan karya terbaik dengan memastikan legasi Keluang Man terus hidup bersama generasi baharu dan akan datang.

Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara dan Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, pihaknya berbesar hati untuk bekerjasama dalam mengangkat karya animasi lagenda itu.

“Kami rasa amat berbesar hati kerana diberi kepercayaan dan peluang untuk bekerjasama dengan Iconic Animation Studio dalam mengangkat karya animasi lagenda ini ke pentas yang lebih besar iaitu layar perak,” katanya.

Pengarah Iconic Animation Studio Sdn Bhd, Muhammad Firdaus Omar turut berkata, animasi ini masih mendapat tempat dalam kalangan penonton dan impian untuk ke layar perak akan direalisasikan.

“Jenama Keluang Man telah bertapak dalam industri animasi lebih 26 tahun dan ia masih diingati serta diperkatakan dalam kalangan peminatnya. Kami yakin ramai yang menantikan kemunculan semula animasi Keluang Man ini,” ujar Firdaus.

Manakala Ketua Pegawai Eksekutif Iconic Animation, Ida Rahayu Md Noor turut berharap filem Keluang Man nanti bakal mencipta rekod baharu dalam industri tempatan.

Keluang Man bakal memulakan pra-produksi dalam masa terdekat ini. Pihak penerbit akan mengumumkan jangkaan tayangannya di pawagam kelak.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.