fbpx
Now Reading
Ulama Cadang Kaji Semula Fatwa Larangan Umat Islam Melawat Al-Aqsa

Ulama Cadang Kaji Semula Fatwa Larangan Umat Islam Melawat Al-Aqsa

Selain dari itu, sidang kemuncak itu turut bersetuju menerbitkan sebuah ensiklopedia khas berkaitan Palestin bagi memaparkan maklumat ilmiah berkaitan sejarah dan perjuangan Palestin.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sidang Kemuncak Ulama Islam 2022 (Muslim Scholar Summit 2022) yang dihadiri kira-kira 150 ulama dari dalam dan luar negara mencadangkan agar fatwa yang melarang umat Islam melawat Masjid Al-Aqsa kerana kawasan itu termasuk dalam jajahan Israel dikaji semula.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Program Mohd Khairuddin Aman Razali, ia merupakan satu daripada 24 resolusi yang dicapai menerusi persidangan selama tiga hari yang berlangsung di Sepang, Selangor pada hujung minggu lalu.

“Orang Islam Al-Aqsa sangat memerlukan sokongan moral daripada orang Islam sedunia. Kita mengajak untuk menyemak kembali fatwa yang tidak menggalakkan umat Islam datang ke bumi Al-Aqsa atas alasan ia satu pengiktirafan diplomatik terhadap penjajahan Zionis.

“Dengan perkembangan semasa ketika umat Islam di Al-Aqsa memerlukan sokongan dunia, kita mengajak untuk dikaji semula fatwa itu berdasarkan kepada perubahan dan keadaan semasa,” katanya kepada Bernama sewaktu majlis makan malam sempena sidang tersebut, semalam (22 Mei).

Foto : YADIM

Sidang Kemuncak Ulama Islam bersetuju terbitkan ensiklopedia khas berkaitan Palestin

Selain dari itu, sidang kemuncak itu turut bersetuju menerbitkan sebuah ensiklopedia khas berkaitan Palestin bagi memaparkan maklumat ilmiah berkaitan sejarah dan perjuangan Palestin.

Jelas Khairuddin, ensiklopedia terbitan ulama adalah perlu memandangkan terdapat usaha dalam menyalurkan maklumat salah mengenai Palestin di peringkat dunia.

Foto : MYAQSA

Tambahnya lagi, antara resolusi lain adalah menggalakkan penggunaan media sosial oleh masyarakat seluruh dunia sebagai usaha mendedahkan kezaliman Zionis Yahudi di bumi Palestin.

“Kita ajak rakyat guna media sosial semaksimum yang boleh untuk kita dedah kepincangan yang berlaku di Palestin atas dasar kemanusiaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan satu jawatankuasa bagi membincangkan isu Palestin akan ditubuhkan dalam masa terdekat.

Difahamkan ia akan dinaungi Kesatuan Ulama Islam Sedunia.

Terdahulu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, isu pencerobohan rejim Zionis di Palestin bukan hanya isu agama tetapi merupakan isu kemanusiaan sejagat tanpa mengira agama, bangsa dan negara.

Jelas beliau, usaha membebaskan Al-Quds daripada penjajahan Zionis Israel bukan tanggungjawab rakyat Palestin atau bangsa Arab semata-mata, sebaliknya ia merupakan tanggungjawab seluruh umat Islam.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.