fbpx

Remaja 18 Tahun Tembak Mati 19 Pelajar & 2 Guru Di Sebuah Sekolah Rendah Di Texas

Suspek adalah penduduk tempatan dan warga negara AS, yang ditembak mati selepas cuba menembak anggota polis yang cuba menahannya.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Seorang remaja menembak mati 19 pelajar dan dua guru selepas dia menceroboh masuk ke sebuah sekolah rendah di Uvalde, Texas, Amerika Syarikat (AS), Semalam (24 Mei).

Serangan senjata api terbaharu yang melibatkan pembunuhan beramai-ramai di sekolah ini merupakan insiden terburuk dalam tempoh satu dekad.

Senator Texas Roland Gutierrez, memberitahu CNN, penembak tersebut, Salvador Ramos, 18, turut mati ditembak selepas menyerang anggota polis.

“Jumlah sebenar mangsa yang cedera belum dapat dipastikan dan peningkatan kadar kematian ini adalah kerana beberapa pelajar yang cedera parah sebelum ini gagal diselamatkan selepas dimasukkan ke hospital,” katanya.

Motif sebenar kejadian masih belum jelas

Sementara itu, Gabenor Texas, Greg Abbott, pada satu sidang media, berkata penembak berusia 18 tahun itu dipercayai menembak mati neneknya sebelum menuju ke Sekolah Rendah Robb.

Dia dipercayai meninggalkan kenderaannya dan membawa sepucuk pistol serta selaras senapang ke dalam sekolah itu sebelum melepaskan tembakan secara rambang sekitar tengah hari.

“Suspek adalah penduduk tempatan dan warga negara AS, yang ditembak mati selepas cuba menembak anggota polis yang cuba menahannya. Semua ini mengerikan dan tidak masuk akal sama sekali,” katanya.

Bendera dikibarkan separuh tiang di ‘White House’

Rumah putih mengarahkan bendera dikibarkan separuh tiang sebagai tanda berkabung dan difahamkan Presiden AS, Joe Biden, sudah diberi taklimat mengenai tragedi itu.

Sekolah Rendah Robb mempunyai kira-kira 500 pelajar, kebanyakannya warga Hispanik daripada golongan miskin dan ibu bapa diminta jangan mengambil anak mereka sebelum kesemuanya disahkan selamat.

Walaupun AS merupakan antara penyumbang kepada kes tembakan rambang yang tertinggi di dunia, pelbagai usaha untuk mengusulkan kawalan penjualan dan penggunaan senjata api di Kongres menemui kegagalan.

AS merekodkan 19,350 kematian berkaitan senjata api pada 2020, meningkat hampir 35 peratus berbanding 2019, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) dalam data terbarunya.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.