Jual Beli Secara Online Ketika Solat Jumaat Adalah Haram
Perkara ini bagaimanapun tidak melibatkan kaum wanita sebaliknya hanya ditujukan kepada kaum lelaki Islam sahaja.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Dunia yang moden dengan teknologi di hujung jari telah memudahkan semua orang dalam setiap urusan harian dan ini termasuklah dalam hal jual beli.
Dengan adanya perkhidmatan jual beli di atas talian selain kewujudan aplikasi e-dagang seperti Lazada, Shopee, Amazon, pelanggan dan peniaga hanya perlu berinteraksi di alam maya sahaja tanpa mengira waktu.
Namun, apakah hukumnya sekiranya proses jual beli ini dilakukan ketika solat jumaat dan adakah ia berdosa?
Untuk menjawab persoalan tersebut, Mufti Wilayah Persekutuan menerusi laman sesawangnya telah berkongsi pandangan berkaitan hal tersebut.
Soalan:
Assalamualaikum pejabat mufti, saya nak tanya, apa hukum berjual beli secara online seperti di Shopee, Lazada, saham dan lain-lain ketika solat jumaat? Terima kasih.
Jawapan:
Hukum melakukan transaksi jual beli secara atas talian ketika solat Jumaat adalah haram kerana ia boleh melalaikan seseorang itu daripada menumpukan solat Jumaat.
Konteks ini juga adalah sama seperti larangan syarak terhadap melakukan transaksi jual beli biasa serta seumpama yang boleh melalaikan.
Dinasihatkan jauhkan diri dari pekara melalaikan
Oleh itu, umat Islam dinasihatkan untuk menjauhkan diri dari melakukan kesalahan ini serta menasihatkan untuk membuat transaksi jual beli selepas selesai waktu solat jumaat.
Huraian jawapan:
Pada asasnya, hukum berkenaan jual beli pada hari Jumaat adalah diharuskan. Namun, apabila masuk waktu solat Jumaat, umat Islam perlu segera meninggalkan urusan duniawi fan fokus kepada solat jumaat.
Hal ini dapat dilihat menerusi firman Allah SWT iaitu:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkan berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).
Larangan proses jual beli ketika bermula azan kedua solat jumaat
Menerusi ayat di atas, Imam Ibn Kathir ada menerangkan bahawa waktu bermulanya larangan transaksi jual beli dan seumpanya adalah ketika bermula azan kedua bagi solat jumaat. Ketika imam berada di atas mimbar sebagaimana yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW.
Sifat jual beli atas talian sama seperti jual beli konvensional
Pada masa kini, transaksi jual beli adalah lebih mudah dengan adanya internet dan aplikasi-aplikasi e-dagang. Sifat jual beli secara atas talian ini adalah sama seperti jual beli konvensional seperti adanya pembeli, penjual dan barang dagangan.
Justeru, hukum berkaitan jual beli sewaktu solat Jumaat adalah terpakai juga kepada konteks jual beli atas talian ini. Tambahan lagi, tidak dinafikan dengan wujudnya laman e-dagang memudahkan manusia untuk melakukan proses jual beli tanpa mengira tempat dan waktu.
Namun begitu, adalah diingatkan bahawa perbuatan tersebut juga akan membuatkan seseorang itu lalai daripada menumpukan pada ibadahnya.
Hukum ini tidak melibatkan wanita
Hukum ini bagaimanapun tidak melibatkan kaum wanita sebaliknya hanya ditujukan kepada kaum lelaki sahaja.
Menerusi rujukan BuzzKini bersama pegawai dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, ianya kerana kewajipan menunaikan solat jumaat hanya difardhukan ke atas kaum lelaki sahaja.
Jika diringkaskan urusan jual beli bagi golongan yang tidak diwajibkan solat Jumaat atau golongan wanita adalah diharuskan semasa waktu solat jumaat semasa mereka atau dengan golongan seperti kanak-kanak.
Namun sekiranya urusan jual beli antara wanita dengan golongan lelaki Islam di saat khatib duduk di atas mimbar dan ketika azan kedua berkumandang maka hukumnya adalah haram.
Contoh situasi yang menjadikan haram kepada seseorang ketika berjual beli
Untuk memudahkan anda memahami keadaan tersebut kami memberikan gambaran situasi agar ia mudah di fahami:
Situasi 1: Peniaga adalah wanita dan pembeli adalah lelaki – jatuh haram dan berdosa kepada kedua-dua individu sekiranya azan telah berkumandang dan khatib telah duduk memberi khutbah.
Situasi 2: Pembelian atas talian dan yang membeli adalah lelaki semasa azan kedua berkumandang – hukumnya berdosa kepada pembeli tersebut.
Situasi 3: Pembeli dan penjual adalah wanita – hukumnya tidak berdosa dan diharuskan kerana wanita tidak diwajibkan menunaikan solat jumaat.
Kesimpulan
Hukum melakukan transaksi jual beli secara atas talian ketika solat jumaat adalah haram kerana boleh melalaikan seseorang daripada fokus ibadahnya.
Oleh itu, dinasihatkan untuk umat Islam menjauhkan diri dari kesalahan tersebut dan melakukannya apabila sudah selesai solat jumaat.
Semoga penjelasan yang diberikan dapat menjawab persoalan serta memberikan kefahaman yang jelas kepada umat Islam.