“Dianggap Gangguan Seksual” -Panggil Seseorang ‘Botak’ Adalah Satu Kesalahan Di United Kingdom
Mahkamah di London dalam satu perbicaraan memutuskan tindakan menggelar seorang lelaki sebagai botak dianggap sebagai satu gangguan seksual
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Di Malaysia, memanggil seseorang dengan panggilan ‘botak’ bukanlah satu perkara yang asing. Malah ada di kalangan kaum lelaki yang selesa dengan panggilan sebegitu tanpa menganggap ia satu bentuk hinaan atau cacian.
Keadaan ini bagaimanapun agak berbeza di United Kingdom (UK) selepas panel hakim dalam satu perbicaraan di Tribunal Pekerja memutuskan ia adalah satu kesalahan.
Dianggap sebagai “sexual harassment”
Bukan itu sahaja, mereka turut berpendapat perbuatan memanggil seorang lelaki dengan panggilan tersebut di tempat kerja juga adalah satu bentuk gangguan seks.
Menurut laporan Telegraph UK, Tribunal Pekerja di dalam perbicaraan yang melibatkan seorang juruelektrik dan majikannya di sebuah firma pembuatan berkata, keguguran rambut lebih kerap dialami lelaki berbanding wanita, jadi penggunaan ayat atau panggilan ‘Botak’ boleh dikaitkan dengan seks, sama seperti mengulas isu sensitif mengenai tubuh badan wanita.
Di dalam perbicaraan kes tersebut, jurelektrik veteran, Tony Finn yang sudah 24 tahun berkhidmat bersama The British Bung Manufacturing mendakwa dibuang kerja secara tidak adil selepas memukul rakan sekerjanya, Jamie King yang menyindir dan menggelarnya botak.
Baginya perbuatan tersebut bukan sekadar hinaan, bahkan berbentuk satu gangguan seksual di tempat kerja.
Panel yang diketuai Hakim, Jonathan Brain kemudianya terpaksa memutuskan sama ada sindiran itu boleh dianggap sebagai satu gangguan seksual atau sekadar penghinaan.
Keputusan mahkamah
Selepas meneliti, Brain kemudiannya memutuskan bahawa terdapat perkaitan antara perkataan botak dan ciri seks yang dilindungi.
Beliau berkata, mana-mana istilah yang diguna dalam bentuk penghinaan boleh dianggap sebagai satu bentuk gangguan seksual.
Finn memenangi kes tersebut atas dakwaan pemecatan yang tidak adil dan berdepan gangguan seksual.
Panel hakim bagaimanapun memakumkan jumlah pampasan yang akan diterima Finn akan diputuskan pada perbicaraan seterusnya.