fbpx

Padah Bergurau Tayang Pistol Mainan RM2.40 Semasa Memandu, Lelaki Ditahan Polis [Video]

Suspek yang mempunyai satu rekod jenayah lampau kemudiannya direman dua hari bermula Isnin (30 Mei) bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 26 Akta Senjata 1960.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sejak semalam, tular di media sosial satu video memperlihatkan seorang lelaki mengeluarkan pistol dari tingkap kereta sewaktu memandu di sebuah jalan di ibu negara.

Menerusi video berdurasi 19 saat itu, dia yang memandu sebuah Proton Wira berwarna merah dipercayai di Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) menghala ke Petaling Jaya dilihat santai memegang pistol berkenaan dan menghalakannya ke atas tanpa mempedulikan pengguna jalan raya lainnya.

Berjaya diberkas polis pada hari sama

Namun siapa sangka tidak sampai sehari tular, lelaki berusia 28 tahun itu sudah pun diberkas pihak berkuasa.

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, gelagat suspek dirakam sekitar jam 6.15 petang berhampiran pusat beli-belah One Utama.

“Pada jam 7.03 malam 29 Mei (Ahad), polis menerima laporan berkenaan seorang lelaki yang sedang memandu kereta jenis Proton Wira berwarna merah mengeluarkan pistol dari tingkap dan menghalakan ke atas.

“Bertindak atas maklumat, pada jam lebih kurang 10 malam sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Petaling Jaya telah menahan seorang lelaki tempatan di sebuah apartmen di Bandar Sri Damansara, Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin, 30 Mei.

Dakwa ia pistol mainan, sedang bermain dengan anak saudara

Sewaktu disasat, suspek mengaku melakukan perkara tersebut dan mendakwa pistol berkenaan hanyalah pistol mainan berharga RM2.40 milik anak buahnya.

“Suspek mendakwa bahawa pistol mainan berharga RM2.40 itu adalah milik anak buahnya yang berumur empat tahun dan mendakwa sedang bermain dengan anak buahnya itu ketika kejadian,” katanya.

Sehubungan itu, polis telah merampas sebuah kereta jenis Proton Wira dan pistol mainan berwarna hitam-coklat untuk membantu siasatan.

Foto : Polis Diraja Malaysia

Suspek yang mempunyai satu rekod jenayah lampau kemudiannya direman dua hari bermula Isnin (30 Mei) bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 26 Akta Senjata 1960.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.