fbpx
Now Reading
‘Banyak Benda Timbulkan Syak Wasangka’ – Tewas Pemilihan PKR, Afdlin Shauki Buat Laporan Polis

‘Banyak Benda Timbulkan Syak Wasangka’ – Tewas Pemilihan PKR, Afdlin Shauki Buat Laporan Polis

Dia dalam masa sama turut mendakwa ada kertas undi yang hilang apabila jumlah undi yang diumum JPP dengan jumlah undi di tempat mengundi bahagian Setiawangsa berbeza dengan ketara.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Umum pasti mengetahui pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi penggal 2022/2025 yang diadakan pada bulan lalu telah dihangatkan dengan kehadiran tiga selebriti tanah air yang bertanding bagi merebut jawatan ketua cabang.

Usaha ketiga-tiga selebriti ini bagaimanapun tidak membuahkan hasil apabila tewas dalam percubaan sulung mereka di tangan calon yang lebih ‘senior’ dalam parti berkenaan.

Ini termasuklah pengarah dan pelawak, Datuk Afdlin Shauki yang tewas kepada penyandang, Nik Nazmi Nik Ahmad apabila hanya memperolehi 372 undi berbanding 482 undi yang diraih Ahli Parlimen Setiawangsa itu.

Namun malam tadi, Isnin (7 Jun), Afdlin Shauki menjadi perbualan ramai selepas dia membuat satu laporan polis terhadap Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR di atas kekalahannya di cabang Setiawangsa.

Menurut laporan Awani, Afdlin yang membuat laporan polis di Balai Polis Pudu pada jam sekitar 9 malam tadi mendakwa JPP telah gagal dalam menguruskan perjalanan pengundian dengan baik sehingga wujudnya banyak penipuan.

Banyak benda yang terang-terang salah

“Hari ini kami buat laporan polis terhadap apa yang kami lihat berlaku ketika pemilihan parti dan laporan ini terhadap JPP.

“Kami rasa ada banyak benda yang mereka (JPP) lakukan yang menimbulkan syak wasangka dan juga benda-benda yang mereka lakukan yang terang-terang salah,” kata Afdlin.

Tambah Afdlin dia tekad membuat aduan polis selepas pertanyaan yang diajukannya kepada JPP dipandang sepi, tanpa sebarang maklum balas.

“Kami sudah buat laporan ke JPP tetapi tidak ada apa-apa tindakan yang diambil. Tak ada panggilan, tak ada tanya khabar, ucapan Selamat Hari Raya, semua tak ada. Yang ada hanyalah senyap dan sunyi.

“Oleh kerana itu, kami terpaksa ambil tindakan untuk membuat laporan kepada pihak polis untuk memulakan siasatan tentang perkara yang kami tanyakan,” katanya lagi.

Dakwa ada banyak kertas undi hilang

Dia dalam masa sama turut mendakwa ada kertas undi yang hilang apabila jumlah undi yang diumum JPP dengan jumlah undi di tempat mengundi bahagian Setiawangsa berbeza dengan ketara.

Malah menurutnya pengiraan kertas undi juga dibuat tanpa wakil calon dan cara bagaimana proses pengiraan dibuat tidak didedahkan.

“Jumlah undi diumum di tempat mengundi adalah 750, namun demikian setelah pengundian fizikal tamat, jumlah undi rasmi yang dikemas kini dalam sistem JPP adalah 528, perbezaan sangat ketara dengan 222 undi hilang begitu sahaja.”

Afdin Shauki

Bukan itu sahaja, Afdlin turut mempersoalkan pelantikan bekas setiausaha PKR Cabang Setiawangsa sebagai penyelaras tempat mengundi dan kelayakan seorang lelaki yang juga suami kepada seorang calon wanita untuk bertugas di dewan mengundi semasa hari pemilihan.

“Lantikan ini dilihat berat sebelah kerana kedua-dua mereka mempunyai hubungan secara langsung dengan calon bertanding, tiada jaminan ketelusan serta integriti memandangkan mereka juga ahli parti dan bukan pihak berkecuali serta berkepentingan,” tegasnya lagi.

Sebagai rekod, Afdlin meninggalkan UMNO dan menyertai PKR pada April tahun lalu. Berita mengenai penyertaan dia dan Altimet diumumkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sebuah program.

© 2021 BuzzKini. All Rights Reserved.