fbpx
Now Reading
“Saya Mahu Malaysia Berada Di Peringkat Global,”- Pelari Menara Nombor 1 Dunia Perlukan Tajaan

“Saya Mahu Malaysia Berada Di Peringkat Global,”- Pelari Menara Nombor 1 Dunia Perlukan Tajaan

Soh tidak mempunyai sokongan kewangan sejak Februari tahun ini kerana dua penajanya sejak tahun 2020 memilih untuk memberi tumpuan pada sukan hoki dan berbasikal.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Pelari menara negara nombor satu dunia, Soh Wai Ching, 27, memenangi perlumbaan ketujuh tahun ini di Amerika Syarikat (AS) pada Ahad lepas (4 Jun).

Menurut laporan Free Malaysia Today, Soh yang memenangi pertandingan di One World Trade Center, New York, dipercayai membiayai dirinya sendiri.

Dia memecut 2,226 anak tangga dalam 12 minit 46 saat, lebih empat minit mendahului naib juara dari AS.

Ia merupakan kemenangan yang ketujuh dalam lapan pertandingan tahun ini di enam bandar raya AS, Warsaw, Poland, dan Dubai.

Sejak membuat penampilan sulung pada 2017, dia telah bertanding dalam 68 perlumbaan di seluruh dunia, dengan 36 kemenangan.

Foto: IG Soh Wai Ching
Foto: IG Soh Wai Ching

Mahu Malaysia berada di peringkat global

“Saya mahu Malaysia berada di peringkat global,” kata Soh, ketika disoal mengapa tetap mengambil bahagian dalam pertandingan larian walaupun berdepan dengan isu kewangan.

“Walaupun kekurangan wang, saya akan terus berlari di bangunan ikonik di seluruh dunia bukan sahaja untuk memenangi perlumbaan tetapi untuk mengibarkan Jalur Gemilang setinggi-tingginya.

“Mata saya berkaca setiap kali nama Malaysia disebut sewaktu saya berada di atas podium, terutamanya pada perlumbaan yang mendapat publisiti besar-besaran seperti di One World Trade Center dan Empire State Building di New York,” ujarnya lagi.

Tiada sokongan kewangan sejak Februari lalu

Soh tidak mempunyai sokongan kewangan sejak Februari tahun ini kerana dua penajanya sejak tahun 2020 memilih untuk memberi tumpuan pada sukan hoki dan berbasikal.

Perlumbaan seterusnya ialah Fight For Air Climb pada 11 Jun di Penn 1, New York, beliau berharap dapat meneruskan rentak kemenangannya.

Terdapat 12 lagi larian menara dari bulan ini hingga Disember di AS, Australia, Jerman, Jepun, Estonia dan China.

Soh yang semakin tinggi menjulang namanya dalam acara sukan itu tetap berharap semoga ada yang sudi menajanya bagi mengharumkan nama negara di persada dunia.

Sekiranya ada mana-mana syarikat yang berminat untuk menjadi penaja kepada pelari dunia ini, mereka boleh menghubunginya menerusi e-mel waiching_soh0928@hotmail.com atau dua akaun media sosial @mastowerrunner di Instagram dan Soh Wai Ching – Athlete di Facebook.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.