fbpx
Now Reading
Umat Islam Tidak Digalakkan Sertai Festival Bon Odori, Kata Menteri Agama

Umat Islam Tidak Digalakkan Sertai Festival Bon Odori, Kata Menteri Agama

Jelas beliau, kajian Jakim mendapati program itu mempunyai unsur-unsur keagamaan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Umat Islam di Malaysia dinasihatkan agar tidak menyertai sebarang program yang bertentangan dengan hukum syarak termasuk festival Bon Odori yang akan berlangsung di Kompleks Sukan Negara Shah Alam pada 16 Julai ini.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad, kajian yang dilakukan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendapati program itu mempunyai unsur-unsur keagamaan.

“Kita nasihatkan kepada semua orang Islam supaya tidak sertai program ini. Ada banyak lagi program lain yang boleh disertai.

“Kita harap kekeliruan tidak perlu wujud (walaupun risalah Festival Odori menggunakan wanita bertudung).

“Kajian pihak Jakim mendapati memang ada unsur keagamaan. Jakim sebagai pihak penyelaras menasihatkan jangan sertai program sebegini atau apa-apa sahaja membabitkan soal agama. Kita kena sayang dengan agama kita,” katanya dalam satu sidang media selepas perasmian satu program pecah tanah di Sungai Besar, Selangor.

Terdahulu tular di media sosial poster promosi penganjuran festival yang memaparkan imej anime wanita berhijab yang memakai kimono.

Penularan foto itu mendapat reaksi kurang senang dari segelintir pengguna media sosial khususnya di kalangan umat Islam di negara ini.

Menurut beberapa posting tular, festival ini disambut dengan beberapa ritual penting seperti tarian, melepaskan cahaya (di dalam tanglung) bagi menghormati semangat nenek moyang dalam perayaan Buddha Jepun.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.