fbpx
Now Reading
‘Bukan Tugas Polis Bantu Mangsa Scammer Untuk Dapatkan Wang Semula’ – Pegawai Polis

‘Bukan Tugas Polis Bantu Mangsa Scammer Untuk Dapatkan Wang Semula’ – Pegawai Polis

Menurut pegawai tersebut, undang-undang yang tersedia ada di negara kita tidak memberi kuasa kepada polis untuk berbuat demikian.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Baru-baru ini media melaporkan kejayaan seorang lelaki yang berjaya mendapatkan kembali wang miliknya selepas ditipu seorang scammer dalam satu transaksi jual beli sebuah unit penghawa dingin.

Yang lebih menariknya, Shahrul Ashraf Sallehuddin, 38, turut berjaya mendapatkan semula wang milik 9 lagi mangsa lain yang turut ditipu oleh scammer sama.

Foto : FMT

Menerusi laporan tersebut, Shahrul yang juga seorang pereka grafik mendakwa dia tekad bertindak sedemikian selepas polis memaklumkan bahawa peluang untuk mendapatkan semula wangnya adalah tipis melainkan dia melaporkan perkara tersebut ke tribunal.

“Polis memberitahu saya, kalau kena scam macam ni, memang tuan (Shahrul) tidak akan dapat balik duit, sebab tidak ada tindakan selanjutnya (dari polis) melainkan tuan ke tribunal. Itu sahaja,” kata Shahrul.

Isu ini membuatkan orang ramai tertanya-tanya kenapa isu berkenaan terpaksa diselesaikan sendiri tanpa bantuan polis. Malah ada yang mempersoalkan peranan dan tanggungjawab polis dalam kes-kes seperti itu.

Undang-undang sedia ada tidak memberi kuasa kepada polis

Terbaharu, seorang pegawai kanan polis tampil menyangkal persepsi orang ramai yang bahawa polis adalah agensi yang bertanggungjawab untuk membantu mangsa penipuan dalam mendapatkan semula wang mereka, lapor FMT.

Kekeliruan ini menyebabkan pihak polis sering dipersalahkan apabila mangsa gagal mendapatkan semula wang tersebut.

Sebaliknya beliau berkata, undang-undang yang tersedia ada di negara kita tidak memberi kuasa kepada polis untuk berbuat demikian.

“Tugas polis adalah untuk menahan, menyiasat dan mendakwa suspek selepas menerima arahan daripada timbalan pendakwa raya. Polis tidak boleh bertindak sendiri,” kata pegawai berkenaan yang merupakan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di sebuah daerah yang enggan namanya didedahkan.

Ramai keliru antara keldai akaun dan ‘scammer’

Tambahnya, orang awam juga sering terkeliru siapa sebenarnya scammer dan siapa pula keldai akaun.

“Mereka yang menipu tidak semestinya ‘scammer’, sebaliknya mungkin sekadar ‘keldai akaun’. Mereka benarkan orang lain guna akaun mereka dan tindakan ini jelas menyalahi undang-undang.

“Scammer bukanlah bodoh dan tidak akan guna akaun bank sendiri. Ini bererti apabila seorang suspek ditahan, scammer berkenaan mungkin masih bebas,” katanya lagi.

Polis patut perbaiki cara mereka tangani kes penipuan

Dalam pada itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan menegaskan, polis patut memperbaiki cara mereka dalam menangani kes-kes penipuan.

“Perlu ada perubahan dalam sikap segelintir pegawai penyiasat apabila mengendalikan kes seperti itu. Mereka perlu menunjukkan bahawa mereka prihatin dan menyiasat kes itu habis-habisan,” katanya.

Ini kerana pihak PPIM sendiri berjaya membantu puluhan mangsa yang menemui jalan buntu selepas cuba mendapatkan bantuan dari pihak berkuasa.

“Ini menunjukkan bahawa kes-kes berkenaan boleh diselesaikan,” katanya.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.