Baru-baru ini tular di media sosial video seorang lelaki yang berhadapan detik cemas apabila bajunya ditarik oleh seekor orang utan di Zoo Kasang Kulim, Riau, Indonesia.
Meskipun kelihatan lucu, insiden tersebut sebenarnya berbahaya dan boleh mendatangkan kecederaan yang serius kepadanya sehingga orang ramai tertanya-tanya bagaimana ianya boleh terjadi.
Terbaharu, teka-teki orang ramai terjawab apabila lelaki berkenaan tampil membuat permohonan maaf dan mengakui melanggar peraturan dengan memanjat pagar kawasan larangan di hadapan kandang orang utan itu demi membuat konten.
Panjat masuk ke kawasan kandang orang utan tanpa kebenaran
Menurut laporan Tribun news, Pengurus Zoo, Desrizal memaklumkan, lelaki tersebut telah memanjat masuk ke dalam kawasan kandang orang utan itu tanpa kebenaran petugas demi mengambil video.
Selain itu, rakan bagi lelaki berkenaan turut melanggar peraturan zoo dengan menendang orang utan tersebut semasa ingin menyelamatkan rakannya yang ditarik.
Patuhi peraturan yang ditetapkan oleh zoo
Desrizal turut menegaskan agar orang ramai yang ingin mengunjungi zoo diharap dapat mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak zoo.
Video permohonan maaf yang dibuat oleh lelaki tersebut turut dimuat naik di laman Instagram rasmi Zoo Kasang Kulim.
“Saya ingin meminta maaf kepada Zoo Kasang Kulim atas perbuatan saya yang telah melompat ke dalam kandang haiwan.
“Saya juga meminta maaf kerana video tersebut tular, saya tidak ingin memberikan kesan negatif dan buruk,” ujar lelaki tersebut.