fbpx
Now Reading
“Sultan Selangor Titah Jangan Sekat Bon Odori”- JAIS

“Sultan Selangor Titah Jangan Sekat Bon Odori”- JAIS

Sultan Selangor juga menitahkan agar semua perkara diputuskan dengan adil dan saksama berikutan kehidupan bermasyarakat dan kepercayaan yang pelbagai di Selangor.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) agar tidak menyekat program Festival Bon Odori yang akan berlangsung di Kompleks Sukan Negara Shah Alam pada 16 Julai ini.

Baginda dalam masa sama turut menitahkan agar tiada individu dihalang dari menghadiri program berkenaan.

Pengarah JAIS Datuk Mohd Shahzihan Ahma dalam satu kenyataan berkata, Sultan Selangor bertitah sedemikian ketika beliau menghadap baginda di Istana Bukit Kayangan pada Khamis (8 Jun) bagi membincangkan mengenai penganjuran festival tersebut.

“Duli Yang Maha Mulia (DYMM) tidak berkenan apa-apa keputusan atau ketetapan tentang perkara seumpama ini disimpulkan dengan tergesa-gesa tanpa kajian dan penelitian yang mendalam.

“Baginda berpendirian, banyak budaya mempunyai kaitan dengan agama, tetapi tidak semestinya agama ada di dalam budaya. Baginda juga bertegas bahawa mengamalkan sesuatu perkara adalah berbeza dengan perbuatan melihat.

“Baginda juga tidak bimbang, jika akidah umat Islam kuat dan benar, ia akan mengenepikan sebarang iktikad dan amalan yang bertentangan dengan Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah,” kata Shahzihan dalam kenyataan tersebut.

Titah pegawai JAIS turun padang lihat sendiri

Tambah Shahzihan lagi, Sultan Selangor juga menitahkan agar semua perkara diputuskan dengan adil dan saksama berikutan kehidupan bermasyarakat dan kepercayaan yang pelbagai di Selangor.

Sehubungan itu, Baginda menitahkan agar pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk turun hadir ke majlis itu bagi melihat sendiri apa yang berlaku dalam program terbabit.

Baginda sendiri pernah hadir

“Baginda sendiri pernah hadir ke majlis ini beberapa tahun lalu dan tidak melihat sebarang perkara yang boleh merosakkan akidah umat Islam, melainkan ia satu program sosial pekerja industri milik syarikat Jepun yang banyak di negeri ini,” katanya.

Terdahulu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad menasihatkan orang Islam agar tidak menyertai festival Bon Odori.

Menurut beliau, kajian yang dilakukan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendapati program itu mempunyai unsur-unsur keagamaan.

Baca artikel berkaitan :

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.