fbpx
Now Reading
Penulis ‘How To Murder Your Husband’ Akhirnya Dipenjara Seumur Hidup Kerana Bunuh Suami

Penulis ‘How To Murder Your Husband’ Akhirnya Dipenjara Seumur Hidup Kerana Bunuh Suami

Dia difahamkan menembak mati suami yang sudah dikahwininya selama 26 tahun itu dengan menggunakan selaras senapang yang dibelinya di laman eBay.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Siapa sangka, seorang penulis dari Amerika Syarikat yang pernah menghasilkan esei ‘How To Murder Your Husband’ secara online rupanya bukan sekadar menulis kosong.

Sebaliknya penulis tersebut, Nancy Brophy, dari Portland, Oregon didakwa menggunakan salah satu teknik yang diajarnya di dalam artikel tersebut untuk membunuh suaminya pada tahun 2018.

Tindakan Nancy atau nama penuhnya Nancy Crampton Brophy yang berusia 71 tahun itu bagaimanapun memakan diri apabila dia akhirnya dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh Mahkamah Oregon pada Isnin, 13 Jun 2022 yang lalu.

Keputusan ini diambil selepas 12 juri yang bersidang mendapati Nancy bersalah menembak mati suaminya, Daniel Brophy yang juga seorang cef dan pengajar terkenal di Oregon Culinary Institute.

Mahkamah dalam perbicaraan pembunuhan yang berlangsung selama sebulan itu bagaimanapun memutuskan penulis novel romantik itu layak memohon parol selepas 25 tahun menjalani hukuman penjara.

Namun ia dilihat tidak memberikan apa-apa perbezaan memandangkan usianya pada waktu itu mungkin sudah mencecah 96 tahun.

Bunuh suami sebab nak tuntut insurans

Menurut laporan BBC, 12 juri yang bersidang mendapati motif utama dia membunuh Daniel pada tahun 2018 adalah untuk menuntut duit insurans hayat berjumlah US$1.5juta (RM6.63 juta).

Dia difahamkan menembak mati suami yang sudah dikahwininya selama 26 tahun itu dengan menggunakan selaras senapang yang dibelinya di laman eBay.

Mayat Chef Daniel Brophy kemudiannya ditemui di atas lantai bilik darjah tempat dia mengajar dengan kesan tembakan di bahagaian belakang badan dan dadanya.

Guna senjata yang dibeli di eBay

Namun senjata tersebut yang didakwa dibeli oleh Nancy bagi tujuan penyelidikan satu novel baharunya tidak pernah ditemukan pihak berkuasa untuk dijadikan bahan bukti.

Hakim juga enggan menggunakan esei ‘How To Murder Your Husband’ yang pernah dihasilkannya sebagai bukti perbicaraan memandangkan risalah tersebut telah ditulis bertahun-tahun sebelum dia melakukan pembunuhan berkenaan.

Pihak berkuasa bagaimanapun berjaya membuktikan Nancy berada di sana apabila kelibatnya keluar masuk dari institut berkenaan sewaktu kejadian dapat dirakam kamera litar tertutup (CCTV).

Malah mereka berjaya membuktikan senjata yang digunakan adalah sama dengan jenis senapang yang dimiliknya yang kini hilang secara misteri.

“Anda berada di sana pada masa yang sama seseorang telah menembak suami anda.. dengan jenis pistol yang anda miliki yang kini hilang secara misteri,” kata Pendakwa Raya Shawn Overstreet.

Kenyataan tersebut bagaimanapun disanggah oleh peguam Nancy yang menegaskan bahawa penulis novel itu tidak mempunyai sebab untuk membunuh suaminya.

Ini kerana dia berpendapat motif wang tidak patut timbul memandangkan krisis kewangan yang dihadapi pasangan tersebut sejak bertahun-tahun lamanya sudah berjaya diselesaikan.

Pernah hasilkan beberapa novel romantik bersiri

Nancy sebelum ini pernah menghasilkan beberapa novel bergenre romantik-saspen antaranya “The Wrong Husband” and “The Wrong Lover” yang boleh didapati di kedai buku popular termasuk Amazon.

Namun artikel kontoversinya mengenai cara membunuh pasangan iaitu ‘How To Murder Your Husband’ antara yang paling menjadi perhatian orang ramai dek kerana kesnya.

Carian kami mendapati artikel tersebut sudah pun diturunkan, namun ia masih lagi boleh dibaca secara online.

Menerusi artikel tersebut, Nancy telah menyenaraikan beberapa teknik untuk melakukan pembunuhan dari penggunaan pisau dan senjata api hinggalah menggunakan racun.

Namun dia di dalam artikel sama turut merasakan adalah lebih mudah mengidamkan kematian seseorang itu berbanding perlu membunuhnya.

“I find it is easier to wish people dead than to actually kill them. I don’t want to worry about blood and brains splattered on my walls. And really, I’m not good at remembering lies. But the thing I know about murder is that every one of us have it in him/her when pushed far enough.”

Nancy Brothy via How To Murder Your Husband

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.