fbpx

Pernah Mendominasi Dunia, Akhirnya Internet Explorer Telah Ditamatkan

Pelayar web yang berusia 27 tahun itu pernah mendominasi pasaran dunia sebanyak 92% pada tahun 2002.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Microsoft secara rasminya telah menamatkan sokongan terhadap pelayar web, Internet Explorer (IE), semalam (15 Jun).

Pelayar web IE pertama kali dilancarkan pada 1995 sebagai sebahagian dari pakej tambahan bagi pengguna Windows 95.

Menurut laporan New York Post, sebilangan kecil pengguna akui masih menggemari pencarian web yang berusia 27 tahun itu.

Penamatan sudah diumumkan setahun lalu

Penamatan IE bukanlah satu kejutan kerana setahun yang lalu, Microsoft sudah memberi tahu bahawa mereka akan menamatkan IE pada 15 Jun 2022 berikutan penurunan jumlah pengguna yang drastik.

Versi terakhirnya adalah Internet Explorer 11 yang diterbitkan pada tahun 2013 sebelum tempatnya digantikan oleh pelayar web yang lebih moden, Microsoft Edge.

Pengurus Besar Microsoft Edge Enterprise, Sean Lyndersay berkata, pelayar web Microsoft Edge bukan sahaja pantas, malah lebih selamat dan lebih moden berbanding Internet Explorer.

Internet Explorer popular pada awal 2000-an

Pada awal era 2000-an, IE digunakan secara meluas sebagai pelayar web serta pernah mencapai peratusan penggunaan yang tertinggi di seluruh dunia pada 2003.

Netscape Navigator yang merupakan pesaing terbesar bagi IE pada waktu itu mula menunjukkan penurunan jumlah pengguna selepas kemunculan pelayar web baharu itu.

Salah satu sebab utama populariti IE kerana ia merupakan pelayar web tetapan (default) di dalam sistem operasi Microsoft Windows.

Zaman keruntuhan Internet Explorer

Bagaimanapun, kadar penggunaannya semakin merosot apabila Mozilla Firefox diperkenalkan pada tahun 2002 dan seterusnya Google Chrome pada 2008.

Penguasaan pasaran IE merosot di bawah paras 50% pada tahun 2010. Bermula tahun 2012, Google Chrome telah menjadi pelayar web yang paling popular di seluruh dunia.

Antara punca utama kejatuhan IE adalah disebabkan sistem IE mula menjadi lambat dan mudah terdedah kepada penggodam sehingga memaksa sebahagian besar pengguna mencari alternatif lain.

Hari ini, pelayar web Chrome mendominasi sebanyak 65% jumlah pengguna di seluruh dunia, diikuti oleh Safari Apple dengan 19%.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.