Ramai Persoal Kenapa Najib Dapat Naik MRT Dahulu, Ini Respon MRT Corp
Selain Najib, mereka turut mengundang beberapa ketua komuniti yang lain bagi merasai pengalaman yang sama.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sejak semalam, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjadi perbualan hangat di media sosial selepas beliau memuat naik beberapa keping foto memperlihatkan dirinya sedang menaiki Projek Transit Aliran Massa (MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu bersama ahli keluarga.
Foto-foto ini mengundang pelbagai reaksi dari netizen memandangkan keberadaannya di sana adalah sehari lebih awal dari pelancaran sebenar MRT yang berlangsung pada hari ini.
Malah ada yang tertanya-tanya apakah faktor yang menyebabkan bekas Perdana Menteri itu diberi peluang meninjau dan merasai pengalaman menaiki MRT itu lebih awal berbanding orang lain.
Najib minat MRT
Terbaharu tengah hari tadi, Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Mohd Zarif Hashim, tampil menjelaskan bahawa pihaknya telah mengundang Ahli Parlimen Pekan itu kerana beliau dilihat meminati projek MRT berkenaan.
Jelas Zarif, MRT kemudiannya telah mengemukakan undangan kepada Najib selepas melihat satu ciapan Najib berhubung projek MRT itu Twitter.
Selain Najib, mereka turut mengundang beberapa ketua komuniti yang lain bagi merasai pengalaman yang sama.
“Beliau (Najib) dalam ciapannya menjelaskan minatnya untuk menaiki MRT dan kerana itu kita membalas ciapannya dengan mengundang Najib menaiki MRT Laluan Putrajaya, semalam. Malah, kita juga ada mengemukakan undangan sama kepada ketua masyarakat untuk melalui pengalaman sama.
“Banyak yang menjadi pengunjung kalau lihat di internet kebelakangan ini, semalam beliau merupakan salah seorang pengunjung itu, itu sahaja,” katanya sewaktu sidang media Majlis Pelancaran MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu di Stesen MRT Kampung Batu, Kuala Lumpur.
Zarif bagaimanapun enggan mengulas respon orang ramai yang mempersoalkan tindakan MRT mengundang Najib selain menyifatkannya sebagai ‘isu berbeza’.
Itu hak MRT, kata PM
Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut berpendapat MRT Corp berhak memutuskan individu yang mahu dijemput untuk menaiki pengangkutan awam terbabit.
“Saya tidak mahu mengulas mengapa MRT menjemput beliau (Najib). Saya hanya melancarkannya hari ini dan perihal mengenai jemputan adalah hak MRT,” katanya.