fbpx
Now Reading
Jurugambar & Peguam Samirah Yang Bergelut Di Mahkamah Berdamai, Namun Laporan Diteruskan [Video]

Jurugambar & Peguam Samirah Yang Bergelut Di Mahkamah Berdamai, Namun Laporan Diteruskan [Video]

Meskipun masing-masing kesal dengan apa yang terjadi, Zulfadhli berkata insiden itu tidak sepatutnya berlaku kerana dia hanya menjalankan tugasnya sebagai jurugambar.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Pagi tadi (21 Jun) berakhir sudah kes pendakwaan terhadap Samirah Muzaffar dan dua remaja di Mahkamah Tinggi Shah Alam atas pertuduhan membunuh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Allahyarham Nazrin Hassan yang menyaksikan ketiga-tiga mereka dilepas dan dibebaskan.

Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman, memutuskan demikian selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Samirah dan dua remaja tersebut yang juga anaknya.

Baca artikel berkaitan : Kes Bunuh CEO Cradle Fund : Samirah & 2 Remaja Lelaki Dibebaskan

Namun di sebalik keputusan perbicaraan tersebut, tular di media sosial satu video insiden pergelutan membabitkan seorang petugas media dan seorang peguam yang mewakili Samirah.

Insiden difahamkan berlaku ketika Samirah yang diiringi peguam berkenaan dan seorang lagi rakan peguam sedang berjalan masuk ke dalam kamar perbicaraan sambil melepasi kumpulan wartawan yang sudah berada di tingkat bawah mahkamah.

Menerusi video yang dikongsikan secara langsung oleh portal The Star di laman Facebook mereka, jelas berlaku kejadian tolak-menolak sehingga berakhir dengan pergelutan dan caci maki di antara seorang peguam dan seorang jurugambar.

Peguam tercedera semasa pergelutan

Malaysia Gazette pula melaporkan peguam berkenaan iaitu Suresh S telah merampas kad media milik seorang petugas sebelum menepis kamera seorang lagi jurugambar.

Petugas media terbabit kemudian dikatakan membalas dengan menendang peguam itu.

Menerusi rakaman sama, kekecohan itu turut menyebabkan jurugambar berkenaan terhentak kameranya di bahagian kepala peguam itu hingga mengakibatkan kecederaan.

Insiden itu ternyata mengejutkan ramai pihak apatah lagi ianya disaksikan ribuan rakyat Malaysia yang sedang mengikuti perkembangan kes tersebut.

Sudah berbaik

Terbaharu, The Vibes melaporkan jurugambar dan peguam tersebut sudah pun menyelesaikan salah faham di antara mereka dengan baik.

Menurut jurugambar Zulfadhli Zaki, dia sudah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seksyen 9 Shah Alam sejurus insiden berlaku.

Jelasnya laporan itu dibuat memandangkan peguam itu telah merampas secara paksa kad media miliknya yang digantung di leher.

“Saya membuat laporan itu kerana kad media mempunyai butiran peribadi saya dan saya takut dia akan menggunakannya untuk mengancam saya pada masa depan,” katanya.

Namun sebaik membuat laporan, dia terlihat Suresh pula tiba untuk membuat laporan. Mereka akhirnya bersua dan saling memohon maaf di antara satu sama lain.

Saling bermaafan namun tetap teruskan laporan

“Kedua-dua pihak sudah meminta maaf dan kami memaafkan satu sama lain, tetapi kami akan tetap meneruskan laporan masing-masing,” katanya lagi.

Tambah jurufoto itu lagi, kad media miliknya juga akan diserahkan kepada pegawai penyiasat (IO).

Meskipun masing-masing kesal dengan apa yang terjadi, Zulfadhli berkata insiden itu tidak sepatutnya berlaku kerana dia hanya menjalankan tugasnya sebagai jurugambar.

“Dia (Suresh) tidak mempunyai kuasa untuk merampas barang peribadi saya secara agresif.

“Dia seorang peguam, bukan pengawal peribadi. Saya hanya cuba melakukan kerja saya,” katanya sambil mengakui bertindak balas untuk mempertahankan diri selepas tag medianya dirampas.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.