Lelaki Muat Naik Komen Persenda Arwah Adibah Noor Mohon Maaf
Dia yang tampil menerusi satu hantaran di Facebook ‘Ibnu Ahmad Ar-Rayyan lll’ dipercayai akaun terbaharunya memohon maaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami!
Follow Kami
Baru-baru ini, media sosial menjadi ‘panas’ ekoran tindakan seorang pengguna Facebook yang memuat naik satu komen bernada jelik apabila mempersendekan kematian pelakon dan penyanyi terkenal, Allahyarham Adibah Noor di media sosial.
Kenyataan berkenaan yang dilontarkannya di ruangan komen Facebook Harian Metro disifatkan netizen dan ramai selebriti sebagai tidak sensitif dan keterlaluan apabila membangkitkan tentang aurat arwah.
Komen berkenaan kemudiannya sempat ditangkap layar oleh netizen sebelum tersebar hingga mengakibatkan dia teruk dikecam.
Terbaharu, lelaki terbabit difahamkan sudah membuat satu permohonan maaf secara terbuka kepada keluarga dan kenalan arwah Adibah Noor.
Dia yang tampil menerusi satu hantaran di Facebook ‘Ibnu Ahmad Ar-Rayyan lll’ dipercayai akaun terbaharunya memohon maaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya.
“Di sini saya ingin memohon jutaan ampun dan maaf kepada seluruh ahli keluarga Almarhum Adibah Noor khususnya dan kepada semua rakyat Malaysia amnya, serta peminat Almarhum khasnya diatas komen saya di Harian Metro tempoh hari .
“Saya akui perkara ini atas kejahilan saya sendiri dan saya amat kesal di atas kekhilafan saya. Saya berjanji tidak mengulangi lagi di masa hadapan, Insya-Allah. Moga roh Adibah Noor ditempatkan di kalangan para solehah,” kata individu berkenaan.
Akaun FB sudah disekat
Dia dalam masa sama turut memaklumkan akaun FB yang sebelum ini digunakannya sudah pun disekat.
“Semua akaun Facebook saya telah disekat. Tak pasti dapat kembali atau tidak. Sekali lagi saya mohon jutaan ampun dan maaf. Tolong viralkan status saya,” katanya lagi.