fbpx
Now Reading
Honda Malaysia Panggil Semula 1,527 Unit BR-V, CITY, CITY Hatchback & HR-V

Honda Malaysia Panggil Semula 1,527 Unit BR-V, CITY, CITY Hatchback & HR-V

Menurut Honda Malaysia, panggilan semula ini dilaksanakan sebagai satu langkah keselamatan berjaga-jaga untuk memeriksa dua situasi

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Honda Malaysia semalam (21 Jun) mengumumkan kempen panggilan semula 1,527 unit model kenderaan mereka yang terdiri daripada beberapa model.

Honda Malaysia menerusi satu kenyataan berkata, panggilan semula ini dilaksanakan sebagai satu langkah keselamatan berjaga-jaga untuk memeriksa dua situasi iaitu memeriksa pengetatan nut pada terminal ACG enjin ‘harness’ dan skru ‘earth grounding’ yang membabitkan model :

Situasi A (Pemeriksaan nut tork pada Penjana Arus ulang-alik atau ACG)

a) City (Tahun 2021)
b) City Hatchback (Tahun 2022)

Situasi B (Pemeriksaan kekekatan skru ‘earth grounding’)

a) HR-V (Tahun 2020)
b) BR-V (Tahun 2021)

Bagi situasi A, Honda Malaysia akan memeriksa tahap pengetatan nat terminal ACG pada abah-abah enjin. Nat yang longgar mampu mengakibatkan tahap sentuhan terminal yang lemah dan bateri yang tidak berfungsi, di mana ia mampu menyebabkan enjin terhenti semasa pemanduan atau sukar untuk dihidupkan kembali selepas kereta berhenti.

Isu ini melibatkan 1,068 unit City 2021 dan City Hatchback 2022.

Bagi situasi B pula, mereka akan memeriksa komponen bolt pada sistem pembumian yang boleh mengakibatkan abah-abah pendawaian longgar. Ia mampu menyebabkan tahap sentuhan terminal yang lemah, dan mengakibatkan enjin terhenti sewaktu pemanduan atau sukar untuk dihidupkan kembali selepas kereta berhenti.

Isu ini melibatkan 343 unit HR-V 2020 dan 116 unit BR-V tahun 2021.

Tiada insiden dilaporkan di Malaysia

Honda Malaysia turut memohon maaf di atas kesulitan yang dialami oleh pelanggan yang terjejas dan menjelaskan bahawa semua model pengeluaran dan jualan semasa tidak terjejas dalam panggilan semula produk ini.

Menurut Honda lagi, setakat ini tiada insiden kemalangan atau kecederaan yang disebabkan oleh isu ini dilaporkan di negara kita.

Pelanggan terjejas akan dihubungi oleh pihak Honda

Menurut kenyataan sama, pelanggan yang terjejas akan menerima makluman melalui surat pemberitahuan berserta butiran lanjut mengenainya. Pemilik terlibat kemudian boleh terus menghubungi pusat pengedar sah Honda untuk membuat temujanji.

Kenderaan akan diperiksa serta dibaiki jika perlu, tertakluk kepada ketersediaan alat ganti.

Pemeriksaan, pembaikan dan penggantian bahagian yang terjejas adalah percuma dan semua kos berkaitan aktiviti panggilan semula ini akan ditanggung oleh Honda Malaysia.

Info tambahan boleh didapati menerusi talian bebas tol Honda Malaysia di 1-800-88-2020.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.