Tompok-Tompok Putih Di Kulit, Dr Ini Perjelas Apa Itu Penyakit Vitiligo Atau Sopak
Penyakit vitiligo atau sopak ini akan menunjukkan tompok-tompok putih pada kulit dan ia tergolong dalam penyakit autoimun.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Pernahkah anda melihat kesan tompok-tompok putih yang muncul secara tiba-tiba pada kulit dan badan anda atau orang lain?
Perkara ini pasti membuatkan mereka yang mengalaminya berasa bimbang dan tak tahu apa yang sedang mereka lalui.
Apa itu Vitiligo?
Tompok putih tersebut berkemungkinan besar adalah penyakit kulit yang dipanggil Vitiligo. Apa itu Vitiligo? Haa jom kami terangkan kepada anda melalui perkongsian yang dilakukan seorang pakar kulit, Dr Syazween di laman Twitter.
Bagaimana nak sebut nama penyakit ini? Cara sebutannya adalah ‘Vi-te-lai-go’ atau ia juga dipanggil Sopak.
Pigmentasi yang mempunyai tompokan putih pada kulit
Perkataan Vitiligo kononnya berasal dari perkataan latin iaitu ‘Vitium’ yang bermaksud ‘Blemish’ atau pigmentasi kulit normal yang tercela dengan mempunyai tompokan putih yang tidak normal.
Penyakit ini sebenarnya tergolong sebagai penyakit Autoimun. Autoimun ini bermaksud sistem imun badan seseorang yang menyerang sel-sel yang mengeluarkan warna pada kulit iaitu ‘Melanocytes’.
Terjadi pada lingkungan umur 20-30an
Kebanyakan kes yang terjadi adalah ketika di usia yang muda seperti dalam lingkungan umur 20-30an. Akan tetapi, ia juga masih boleh berlaku kepada sesiapa sahaja dan tidak kiralah sama ada kanak-kanak mahupun orang tua.
Penyakit ini juga mempunyai kaitan yang kuat dengan sejarah keluarga. Sekiranya anda mempunyai mana-mana ahli keluarga terdekat yang menghidapi penyakit Vitiligo, kebarangkalian untuk seseorang itu menghidap penyakit sama adalah tinggi.
Penyakit ini tidak bahaya
Walau bagaimanapun, penyakit ini sebenarnya tidak berbahaya. Cuma apabila berdepan dengan autoimun, risiko untuk pesakit menghidapi masalah penyakit-penyakit autoimun yang lain adalah lebih tinggi berbanding orang biasa.
Oleh itu, ia perlu dikenal pasti sama ada seseorang itu menghidap sakit sendi (Rheumatoid arthritis), tiroid, kurang darah merah (pernicious anaemia) serta yang lain-lain.
Kenal pasti melalui warna
Untuk mengenal pasti penyakit Vitiligo ini adalah mudah iaitu melalui warnanya yang ‘milky-white’ dan kawasan yang terlibat kebiasaanya Acrofacial (yang bermaksud di hujung-hujung) sebagai contoh di keliling mata, hidung, hujung jari dan juga di bahagian kemaluan.
Tetapi, ada juga pesakit Vitiligo yang mempunyai tompokan di seluruh badan iaitu Generalised Vitiligo dan ada yang hanya pada bahagian dalaman kulit seperti bibir dan kemaluan yang dipanggil Mucosal Vitiligo.
Selain itu, terdapat sesetengah kanak-kanak yang mengidap Vitiligo berjenis segmental di mana tompokan itu seperti mempunyai segmen atau kotak pada kulit. Malah ia boleh menjadi satu atau banyak segmen.
Membesar selama enam hingga setahun
Kebiasaanya jenis Vitiligo ini hanya membesar selama enam bulan hingga setahun dan akan berhenti membesar dan menjadi stabil.
Apa yang menariknya adalah sesetengah Vitiligo juga mempunyai ‘Koebner Phenomenon’ iaitu Vitiligo yang terbentuk di kawasan kulit yang luka dan sekiranya ia berlaku anda mungkin mempunyai jenis Vitiligo yang aktif.
Penyakit ini juga mempunyai beberapa cara untuk dirawat. Sekiranya menyedari anda mempunyai tompokan putih seperti yang diterangkan di atas, adalah lebih baik untuk anda segera bertemu dengan doktor untuk mendapatkan rawatan dan nasihat.
Ini kerana, seperti yang telah diterangkan penyakit ini mempunyai kaitan dengan autoimun. Oleh itu, adalah penting untuk anda mengenal pasti dengan segera penyakit yang dihadapi.