fbpx
Now Reading
Lori Rempuh 11 Kenderaan Di Tambak Johor Buat Ramai Seriau [Video]

Lori Rempuh 11 Kenderaan Di Tambak Johor Buat Ramai Seriau [Video]

Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Raub Selamat, insiden berlaku apabila lori yang membawa muatan habuk kayu dan sedang menghala ke Singapura itu mengalami kerosakan mekanikal.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Seram! Itu sahaja yang boleh digambarkan sewaktu menonton video tular memperlihatkan sebuah lori merempuh belasan kereta di Tambak Johor menghala ke Singapura dipercayai berlaku pagi ini, 7 Julai.

Menerusi video tersebut, dapat dilihat lori berkenaan menyeret sebuah kereta berwarna putih sebelum merempuh belasan lagi kenderaan lain termasuk van dan bas yang tersangkut dalam kesesakan.

Insiden itu menimbulkan rasa seriau di kalangan pengguna media sosial yang mahukan siasatan telus dijalankan bagi mengenal pasti punca insiden terbabit.

Libatkan 12 kenderaan, 6 dari negara jiran

Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Raub Selamat, insiden tersebut melibatkan dua belas kenderaan iaitu enam kenderaan tempatan dan enam dari negara jiran.

Kemalangan difahamkan berlaku apabila lori yang membawa muatan habuk kayu dan sedang menghala ke Singapura itu mengalami kerosakan mekanikal.

“Kemalangan yang berlaku membabitkan 12 kenderaan iaitu sebuah lori, sebuah bas dan sebuah van serta sembilan buah kereta.

“Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dan kemalangan hanya membabitkan kerosakan kecil pada kenderaan yang terbabit,” katanya.

Pemandu lori sudah ditahan polis

Tambah Raub, pemandu lori itu sudah pun ditahan polis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Polis juga difahamkan akan membuat ujian saringan air kencing terhadap pemandu berusia 34 tahun itu.

JPJ mulakan siasatan

Dalam pada itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong menerusi satu hantaran di Facebook turut memaklumkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mula menjalankan siasatan di bawah Tataamalan Industri Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan bagi Aktiviti Pengangkutan Jalan 2010 (ICOP) berhubung insiden terbabit.

“Tindakan tegas akan dikenakan kepada pemandu lori atau syarikat terbabit jika didapati gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan,“ kata beliau.

Arah MIROS siasat punca insiden

Malah beliau menegaskan akan meminta Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) untuk menyiasat dari aspek teknikal sehingga mengetahui apakah punca kemalangan tersebut berlaku.

“Setelah JPJ melengkapkan audit ICOP, termasuklah seperti menggantung lesen PSV pemandu lori, menggantung permit syarikat atau lain-lain hukuman yang termaktub dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).”

Beliau turut meminta mana-mana individu yang berada di tempat kejadian untuk tampil menyerahkan bukti seperti rakaman video jika ada bagi membantu siasatan.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.