fbpx

“Akaun Kami Digodam” – Didakwa Jadi Punca Video LoFi Girl Disekat YouTube, Ini Penjelasan Penuh FMC Music

Sehubungan itu, pihak FMC telah membuat satu laporan polis bagi menjelaskan bahawa FMC Music sama sekali tidak terlibat dalam isu pengambilalihan hak cipta dari Lofi Girl.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Baru-baru ini, saluran YouTube yang cukup terkenal di kalangan anak muda dan pelajar, Lofi Girl menjadi perhatian pengguna media sosial selepas dua video siaran langsung mereka diberhentikan.

Isu tersebut difahamkan berlaku selepas YouTube mendakwa terdapat perlanggaran hak cipta pada kandungan mereka.

Menerusi satu tangkap layar yang dikongsikan Lofi Girl di Twitter mereka pada Ahad (10 Julai), arahan tersebut dikeluarkan YouTube selepas ianya dibangkitkan oleh sebuah syarikat rakaman di Malaysia iaitu FMC Music Sdn Bhd.

Sehari kemudiannya, YouTube tampil memohon maaf dan memaklumkan bahawa bantahan itu adalah satu penyalahgunaan dan mereka akan mengembalikan semula video tersebut dalam tempoh 24 jam hingga 48 jam.

Malah mereka mendakwa akan menamatkan akaun pihak syarikat rakaman terbabit.

Isu ini membuatkan syarikat FMC Music teruk dikecam pengguna media sosial baik dari dalam mahupun luar negara.

E-mel syarikat digodam

Sedar isu berkenaan hangat diperkatakan di media sosial, FMC kemudiannya tampil menerusi satu kenyataan media bagi menjernihkan keadaan.

Menurut FMC, kejadian ini sebenarnya berpunca apabila e-mel rasmi mereka telah digodam dan perkara tersebut hanya disedari oleh pihak syarikat pada 10 Julai sekitar jam 8 malam.

“Setelah pulang sekitar jam 10 malam, kami telah cuba untuk log masuk ke dalam akaun e-mail milik FMC Music, tetapi malangnya cubaan untuk log ini gagal kerana kata laluan e-mel tersebut telah ditukar.

“Setelah meneliti beberapa perkara kami dapati bahawa Lofi Girl telah membuat satu ciapan di Twitter yang menyatakan bahawa FMC MUSIC telah mengambil alih hak cipta lagu pada Video Lofi Hiphop Radio,” kata FMC.

FMC hanya terlibat dengan lagu tempatan, lalu buat laporan pada YouTube

Isu pengambilalihan hak cipta ini nyata mengejutkan FMC Music memandangkan syarikat rakaman mereka hanya terlibat dalam menghasilkan lagu untuk pasaran tempatan. Mereka lantas membuat satu laporan pada YouTube.

“Kami merasa terkejut kerana mana mungkin FMC Music yang hanya terlibat dengan lagu-lagu di pasaran tempatan boleh mengaku dan mengambil alih hak cipta lagu dari luar Malaysia. Itu sesuatu yang mustahil. FMC Music telah membuat laporan kepada YouTube dan menjelaskan bahawa tiada sebarang tindakan dari pihak FMC Music yang mahu mengambil alih hak cipta dari Lofi Girl. Selain itu kami turut menyatakan bahawa akaun milik FMC Music juga telah digodam dan ditukar kata laluan malah status syarikat di dalam Google Business Profile milik FMC juga telah ditukar.”

FMC Music Sdn Bhd

YouTube sahkan akaun FMC digodam, pihak syarikat bertindak buat laporan polis

Akhirnya pada Selasa (12 Julai) sekitar 3 petang, YouTube mengesahkan bahawa akaun rasmi YouTube FMC telah digodam.

Sehubungan itu, pihak FMC telah membuat satu laporan polis bagi menjelaskan bahawa FMC Music sama sekali tidak terlibat dalam isu pengambilalihan hak cipta dari Lofi Girl.

Foto : FMC

Mereka juga mendedahkan sedang menunggu hasil siasatan dari pihak YouTube dan berharap isu ini dapat diselesaikan dengan baik.

“Hari ini kami membuat laporan polis bertujuan menyatakan bahawa FMC Music tidak terlibat sama sekali di dalam hal yang membabitkan pengambil alihan hak cipta dari Lofi Girl. Kini kami masih menunggu jawapan hasil sisatan dari pihak YouTube Support Team. Dan saya berharap perkara dapat segera diselesaikan. Kami juga mohon maaf kepada pihak Lofi Girl di atas kekeliruan dan permasalahan ini. Semoga pelaku yang melakukan jenayah ini segera diketahui”.

FMC Music Sdn Bhd

Terdahulu wakil syarikat FMC memaklumkan kepada BuzzKini bahawa isu ni terlambat disedari memandangkan syarikat mereka baru sahaja kembali beroperasi ekoran dari cuti Hari Raya Aidiladha.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.