fbpx
Now Reading
Honda Malaysia Lancar HR-V Serba Baharu, Hadir Dengan 4 Varian & Harga Bermula Dari RM114,800

Honda Malaysia Lancar HR-V Serba Baharu, Hadir Dengan 4 Varian & Harga Bermula Dari RM114,800

Honda SENSING kini merupakan ciri standard untuk semua varian HR-V Serba Baharu yang menurut Honda adalah satu nilai tambah terhadap keselamatan pelanggan mereka.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Selepas beberapa bulan menanti, Honda Malaysia akhirnya secara rasmi melancarkan model yang ditunggu-tunggu ramai iaitu HR-V generasi ke-3 pada Khamis, 14 Julai.

HR-V Serba Baharu ini dibangun menggunakan konsep “AMP UP YOUR LIFE” yang telah diperbaharui dengan penggayaan luar biasa, sistem janaan kuasa canggih serta ciri inovatif dan dalam masa sama masih mengekalkan ciri praktikal untuk kegunaan harian.

Sudah terima 20,000 tempahan

Menurut Pengarah Urusan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Honda Malaysia Hironobu Yoshimura, HR-V Serba Baharu yang direka untuk sentiasa berada selangkah di hadapan ini telah menerima lebih daripada 20,000 tempahan sejak ia mula dibuka.

“Dengan maklum balas menggalakkan dan permintaan tinggi terhadap model baharu berkenaan, kami juga ingin  memaklumkan bahawa tempoh menunggu bagi HR-V Serba Baharu ini ialah 12 bulan, bergantung kepada ketersediaan varian yang ada. Bagaimanapun, Honda Malaysia sedang mengambil langkah terbaik untuk menyerahkan kereta baharu pelanggan secepat mungkin,” kata Yoshimura.

Tambahya lagi, lanjutan tempoh pengecualian cukai jualan oleh Kerajaan Malaysia juga secar tidak langsung telah melonjakkan lagi penjualan kenderaan Honda.

“Bagi pihak Honda Malaysia, saya ingin berterima kasih terhadap usaha berkenaan yang bertujuan untuk menyokong industri automotif di sepanjang tempoh pandemik ini.”

Pembaharuan pada rekaan luaran

Rekaan luaran HR-V Serba Baharu telah menerima pembaharuan menyeluruh agar jentera ini tampil lebih bergaya dan premium berbanding model yang terdahulu.

Wajah depannya didominasi oleh Rekaan Baharu Sporty Gril Hadapan, sementara rekaan belakangnya dihiasi oleh Jalur Lampu LED.

Sentuhan estetik lain yang menarik pada kereta ini termasuklah Lampu Isyarat LED Sequential Depan (varian V & RS), Lampu Utama LED sepenuhnya dengan Lampu Nyalaan Siang (DRL) dan Lampu Kabus LED di depan ( E, V dan RS)

Selain itu Rim Aloi Sporty bersaiz 18-inci juga akan ditawarkan untuk varian V dan RS melengkapkan lagi imej HR-V Serba Baharu.

Lima warna pilihan

Menurut Honda, HR-V 2022 ini akan tampil dengan lima warna pilihan iaitu merah (Ignite Red Metallic), kelabu (Meteoroid Gray Metallic), putih mutiara (Platinum White Pearl), perak (Lunar Silver Metallic) dan hitam (Ruse Black Metallic).

Tiga pilihan sistem janaan kuasa

HR-V Serba Baharu terus meletakkan tanda aras yang lebih tinggi bagi segmen SUV kompak dengan pengenalan tiga pilihan sistem janaan kuasa sebagai pilihan kepada pelanggan, mengikut gaya hidup dan keperluan penggunaan masing-masing.

1.5L (e:HEV) – Bagi Varian RS

Yang pertama pastinya teknologi hibrid e:HEV – sama seperti City dan City Hatchback bagi memenuhi keperluan pelanggan yang mementingkan kecekapan sistem janaan hibrid dalam sebuah SUV kompak.

Sistem 1.5L e:HEV dengan 2-motor memberikan 131PS kuasa dan 253Nm tork. Sistem hibrid 2-motor Honda yang unik menyelaras antara tiga mod pemanduan: Pacuan EV, Pacuan Hibrid dan Pacuan Enjin, yang akan bertukar mengikut situasi pemanduan oleh pemandu.

1.5L VTEC Turbo (Varian V & E)

Bagi pelanggan yang inginkan pengalaman pemanduan berprestasi dan mengujakan pula mempunyai pilihan enjin 1.5L VTEC Turbo (varian V & E). HR-V Serba Baharu merupakan model bukan-nasional pertama menawarkan enjin pengecas turbo yang menghasilkan kuasa sebanyak 181PS dan 240Nm tork bagi pemanduan yang lebih responsif serta mengujakan.

Varian RS, V dan E akan ditawarkan dengan pilihan mod pemanduan NORMAL, SPORT dan ECON, yang boleh ditukar dengan mudah melalui Drive Mode Selector.

1.5L DOHC (Varian S)

Varian S pula dilengkapi enjin 1.5L DOHC i-VTEC yang menjanakan kuasa sebanyak 121PS dengan tork maksimum 145Nm.

Ruangan dalaman dan ciri

Ruang dalaman HR-V Serba Baharu pula telah direka untuk memberikan keselesaan dengan gaya moden dan stylish. Varian RS kini menampilkan balutan kerusi kulit, Pedal Kaki Sports, Dua-zon Pendingin Hawa Automatik dan Deceleration Selector Paddle.

Varian RS, V dan E menampilkan Paparan Kluster Meter (TFT) Interaktif berukuran 7-inci dan Paparan Audio berukuran 8-inci yang boleh dipadankan dengan Apple Carplay™ dan Android Auto™.

Android Auto™ bagaiamanapun akan tersedia selepas pelancaran rasmi servis berkenaan di Malaysia.

Paparan Kluster Meter (TFT) Interaktif berukuran 7-inci dan Paparan Audio berukuran 8-inci yang boleh dipadankan dengan Apple Carplay™ dan Android Auto™.

Selain itu, ciri termaju yang pertama kali diperkenalkan dalam segmennya dan juga oleh Honda yang terdapat pada varian HR-V RS ialah ciri bebas kendalian tangan bagi pintu ruang belakang (Hands-Free Power Tailgate) dengan fungsi Walkaway Close, yang mana pintu ruang barangannya akan ditutup secara automatik jika pemandu bergerak menjauhi kenderaan selepas “Walkaway Close Switch” diaktifkan.

Penghidup Enjin Kawalan Jauh (Remote Engine Start) dan ciri Kunci Automatik Bila Beredar (Walk Away Auto Lock) juga merupakan ciri baharu yang diperkenalkan untuk HR-V Serba Baharu.

Pemandu model baharu ini juga akan mendapati bahawa ciri Kawalan Menuruni Bukit (Hill Descent Control) juga sangat membantu dalam mengawal pendikit dan brek secara automatik bagi mengekalkan kelajuan rendah, membolehkan pemandu fokus kepada kendalian stereng ketika menuruni cerun curam.

HR-V Serba Baharu ini turut dilengkapi dengan set penuh teknologi keselamatan termaju Honda LaneWatch² dan Honda SENSING.

Honda SENSING jadi ciri standard untuk semua varian HRV 2022

Apa yang lebih menarik ialah Honda SENSING kini merupakan ciri standard untuk semua varian HR-V Serba Baharu yang menurut Honda adalah satu nilai tambah terhadap keselamatan pelanggan mereka.

Sebagai info, sistem canggih bantuan pemandu Honda SENSING terdiri daripada:

  • Sistem Amaran Pelanggaran Hadapan (Forward Collision Warning)
  • Sistem Brek Mitigasi Pelanggaran (Collision Mitigation Braking System)
  • Sistem Bantuan Kekal Lorong (Lane Keep Assist System)
  • Sistem Mitigasi Keluar Dari Jalan (Road Departure Mitigation)
  • Amaran Keluar Lorong (Lane Departure Warning)
  • Lampu Tinggi Auto (Auto High Beam)
  • Kawalan Pemanduan Adaptif (Adaptive Cruise Control)
  • Sistem Mengikuti Kenderaan (Low Speed Follow)
  • Sistem Notifikasi Kenderaan Hadapan Berlepas (Lead Car Departure Notification)

Harga bermula dari RM114,800

Harga bagi Honda HR-V Serba Baharu ini bermula dari RM114,800 hingga RM140,800 bagi varian tertinggi.

Semua harga ini adalah harga di atas jalan dan tidak termasuk insurans.

Dengan pelancaran model baharu yang menarik ini, Honda Malaysia mensasarkan jualan sebanyak 1,600 unit HR-V Serba Baharu sebulan.

Merupakan SUV kompak sebenar yang mendahului dari sudut rekaan luaran, ruang dalaman serta sistem janaan kuasa yang canggih, HR-V Serba Baharu dijangka akan menarik minat pelanggan dalam kalangan keluarga muda urban, profesional serta sesiapa saja yang inginkan sebuah kenderaan bergaya dengan kelengkapan canggih yang menepati gaya hidup masing-masing.

Untuk maklumat lanjut berkaitan HR-V Serba Baharu, pelanggan boleh mengunjungi mana-mana pusat jualan sah Honda di seluruh negara atau hubungi talian tol percuma Honda di 1-800-88-2020, atau layari www.honda.com.my.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.