fbpx
Now Reading
Akui Silap Memandu Tanpa Lesen, Haqiem Stopa Buat Laporan Polis Selepas Data Peribadi Ditularkan?

Akui Silap Memandu Tanpa Lesen, Haqiem Stopa Buat Laporan Polis Selepas Data Peribadi Ditularkan?

Menurut Haqiem Stopa, dia memandu kereta tersebut kerana pemandu peribadinya kepenatan sejurus mereka pulang dari menjamu selera.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sejak semalam, pengguna media sosial hangat memperkatakan mengenai satu laporan media tentang seorang influncer yang ditahan dan disaman polis selepas didapati memandu tanpa lesen memandu yang sah di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

Menurut pihak polis, influencer itu ditahan pada Ahad malam (17 Julai) dalam satu pemeriksaan ketika sedang memandu sebuah kereta jenis Audi.

Dalam masa sama turut tular beberapa foto di media sosial memperlihatkan seorang influencer yang dikaburkan wajahnya berserta satu notis saman PDRM.

Perkongsian dan maklumat yang dikongsikan membuatkan orang ramai mula mengaitkan isu berkenaan dengan Haqiem Stopa sehingga dia teruk dikecam selain menjadi bahan tawa pengguna media sosial.

Baca artikel berkaitan : Influencer Terkenal Ditahan & Disaman Selepas Kantoi Bawa Kereta Audi Tiada Lesen Memandu

Disaman kerana memandu kereta bukan tiada motosikal

Terbaharu, Haqiem mengesahkan bahawa dia adalah individu yang ditahan pihak polis sewaktu melalui sekatan jalan raya itu. Namun dia menafikan saman dikeluarkan kerana ketiadaan lesen motosikal sebaliknya kerana kesalahannya memandu kereta tanpa lesen.

Jelas Stopa, perkara itu berlaku kerana pemandu peribadinya kepenatan selepas mereka pulang dari menjamu selera.

“Selesai makan malam, saya dan pemandu peribadi terus bergerak untuk pulang ke pejabat saya di Sungai Buloh.

“Kebetulan pemandu peribadi saya tidak larat, jadi saya pandu kereta sendiri namun ditahan polis kira-kira jam 11 malam ketika melalui satu sekatan jalan raya di ibu kota.

“Hasil pemeriksaan, polis dapati saya tiada lesen memandu dan nombor pendaftaran tidak ikut spesifikasi, jadi saya terima kerana mereka (polis) hanya jalankan tugas. Lagipun memang betul saya bersalah,” katanya kepada Harian Metro.

Sekarang masih ada pemandu peribadi, akan ambil lesen nanti

Menerusi laporan sama, Haqiem turut memaklumkan akan mengambil lesen memandu apabila masanya sesuai. Ini kerana dia ketika ini masih lagi mempunyai pemandu peribadi.

“Setakat ini, saya boleh hadap lagi situasi dan akan cuba cari masa untuk ambil lesen memandu kereta nanti.

“Buat masa ini saya tangguhkan dahulu (ambil lesen) kerana masih gunakan khidmat pemandu peribadi untuk ke mana-mana,” kata Haqiem Stopa lagi.

Pelik bagaimana foto dan notis saman boleh tular

Namun apa yang Haqiem kesalkan adalah bagaimana foto dan notis saman yang tertera butiran peribadinya boleh menjadi tular di media sosial.

“Hairan juga siapa yang curi-curi ambil gambar kerana hanya saya, pemandu peribadi dan anggota bertugas sahaja ada ketika itu. Gambar itu agak jelas kerana diambil dari jarak dekat dan notis saman ditularkan juga tertera nama serta alamat penuh tempat ibu bapa saya menetap.

“Bagi saya, gambar dan butiran peribadi saya tidak sepatutnya dihebahkan kepada umum kerana ia membabitkan privasi dan dibuat (dihebahkan) tanpa persetujuan saya. Lagipun saya pernah terima ugutan sebelum ini, jadi bimbang sekiranya berlaku perkara tidak diingini kepada orang tua apabila alamat rumah ditularkan,” katanya lagi.

Sudah buat laporan polis

Menerusi pemerhatian kami di akaun Instagram Haqiem, dia dilihat memuat naik satu hantaran di Instagram Stories seolah-olah sudah membuat satu laporan polis berhubung penularan data peribadinya itu.

Dia di dalam muat naik sama turut mempersoalkan motif individu terlibat menularkan data peribadi miliknya.

“Malaysia ada undang-undang. Saya akui dan terima hukuman. Jadi apakah tujuan dan motif tuan menularkan data peribadi saya tanpa izin.

“Butiran dalam surat saman tersebut (ada) nama penuh, alamat dan kad pengenalan saya. (Ia) adalah data peribadi saya,” tulisnya.

Menerusi muat naik sama dia turut berkongsi satu petikan dari kenyataan bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari berhubung kesalahan menyebarkan data peribadi seseorang tanpa izinnya yang boleh didakwa di bawah Seksyen 130 Akta Perlindungan Peribadi 2010 (Akta 709).

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.