fbpx
guru didakwa dera murid autisme

Guru Didakwa Dera Murid Autisme Hingga Lebam Di Bahagian Telinga

Murid yang juga autisme itu didakwa telah didera sehingga menyebabkan cedera dibahagian telinga.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Tidak dinafikan menjadi seorang pendidik bukanlah satu perkara yang mudah, terutama apabila ditugaskan untuk menjadi guru pendidikan khas.

Meskipun kanak-kanak yang dididik mempunyai pelbagai kerenah atau perangai yang berbeza, ia bukanlah satu alasan bagi guru untuk menghukum pelajar sehingga berlakunya kecederaan pada pelajar tersebut.

Murid autisme didakwa didera guru

Baru-baru ini, seorang murid perempuan berumur tujuh tahun yang merupakan anak istimewa autisme didakwa telah didera oleh seorang guru disyaki berlaku di salah sebuah sekolah Permatang Pauh Seberang Jaya, Pulau Pinang.

Hantaran tersebut telah dikongsikan oleh seorang pengguna Facebook, Mona Din dan ia turut menarik perhatian Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Mazlee Malik yang juga berkongsi muat naik tersebut di laman sosialnya.

Diberitahu oleh kenalan di Facebook

Jelas Mona, perkara itu dimaklumkan oleh kenalan di Facebook yang menghubunginya menerusi aplikasi Whatsapp dan memberitahu insiden yang melibatkan cucunya itu.

Menerusi hantaran tersebut, murid dari kelas pendidikan khas itu didakwa telah mengalami kecederaan di bahagian telinganya akibat dipulas sehingga meninggalkan kesan lebam.

Menurutnya, guru yang melakukan perkara itu bagaimanapun bukan guru kelas kepada murid perempuan tersebut.

Hospital sahkan kes dera

“Dengarnya pihak hospital telah pun mengesahkan kes ini sebagai kes dera.

“Pihak keluarga memaklumkan merasa sangat terkilan, kerana dikatakan semasa perjumpaan dengan pihak sekolah, pihak itu telah menyalahkan murid sehingga menyebabkan guru terpaksa memberi hukuman seperti itu,” tulis Mona.

Tambahnya lagi, pihak sekolah turut memperlekehkan pihak keluarga kerana tidak memantau perkembangan murid berkenaan.

Berharap kes dapat disiasat pihak berkuasa

Dia dalam masa sama, turut berharap kes tersebut disiasat oleh polis serta pihak Kementerian Pendidikan dengan telus dan mengambil tindakan yang sewajarnya.

“Semoga sentiasa ada rasa simpati, kasih dan keikhlasan oleh semua pihak dalam menangani anak-anak istimewa.

“Sesungguhnya mereka tidak sesempurna kita, kerana itu kita lah yang harus memahami mereka! Anak istimewa untuk didik dan disayangi bukan disakiti,” kata wanita itu lagi.

Menerusi hantaran tersebut juga, Mona turut memuat naik satu gambar yang menunjukkan luahan hati yang disyaki ibu kepada murid tersebut di dalam kumpulan Facebook Autisme Malaysia.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.