Bermula awal minggu ini, Perodua Alza 2022 sudah mula kelihatan di atas jalan raya, tidak dapat disangkal reka bentuknya yang agak mengancam berjaya mencuri pandangan orang ramai yang melihatnya.
Namun, tiada siapa dapat sangka model MPV keluaran Perodua yang terbaharu itu akan terlibat dalam kemalangan untuk jangka masa yang terlalu awal ini.
Hal ini berikutan tular beberapa keping gambar di media sosial yang memaparkan Perodua Alza tersebut remuk teruk di bahagian hadapan dalam keadaan bertembung dengan sebuah kereta jenama Hyundai.
Menerusi perkongsian gambar tersebut, turut terlihat sebuah Proton Saga dan Perodua Kancil terlibat sama dalam kemalangan tersebut.
Berpunca daripada sebuah Proton Saga keluar simpang secara melulu
Menurut perkongsian laman Facebook akaun PanduLaju, kejadian terbabit dikatakan berlaku berpunca daripada sebuah Proton Saga yang keluar dari simpang secara melulu mengakibatkan berlakunya perlanggaran antara Hyundai dan Kancil. Hyundai itu kemudiannya terbabas dan melanggar bahagian hadapan Alza.
Beberapa pengguna media sosial mendakwa pemilik Alza tersebut ialah seorang guru dan baru menggunakan MPV itu sejak dua hari lalu. Malah ada dakwaan yang mengatakan guru berkenaan mengalami kecederaan di bahagian lutut.
Walau bagaimanapun, sehingga kini kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa masih belum dikeluarkan berkenaan insiden tersebut.