Siapa sangka niat seorang lelaki yang pulang ke kampung halaman untuk menghadiri upacara pengebumian abangnya yang maut dipatuk ular turut menyebabkan dia meninggal dunia akibat perkara sama.
Menurut laporan Harian Metro yang memetik independent, lelaki berusia 22 tahun yang dikenali sebagai Govind Mishra itu pulang ke kampungnya di Bhawanipur, Bihar, India untuk menghadiri upacara pengebumian abangnya, Arvind Mishra.
Pegawai Kanan Polis, Raman Singh berkata, abang kepada mangsa yang dikenali sebagai Arvind Mishra merupakan mangsa pertama yang maut akibat bisa ular.
Adiknya turut maut dipatuk ular ketika tidur
Namun malang sekali lagi berlaku, apabila kini giliran adiknya pula menjadi mangsa dipatuk ular ketika sedang tidur hingga menyebabkan ia maut.
Menurut Raman Singh, ketika kejadian salah seorang saudara daripada dua beradik itu iaitu Chandrashekar Pandey turut menjadi mangsa reptilia terbabit namun dia sempat dibawa ke hospital dan kini dalam keadaan kritikal.
Hampir separuh kematian akibat gigitan ular yang direkodkan WHO berlaku di India
Sementara itu, jurucakap Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, antara 81,000 hingga 138,00 kematian setiap tahun berlaku akibat terkena gigitan ular dan hampir separuh daripada kematian berkaitan itu dilaporkan berlaku di India.
Tambahnya, di India kira-kira 90% gigitan ular adalah disebabkan oleh empat spesis terbesar seperti ular tedung, ular Russell, dan juga ular bersisik gergaji.
“Campur tangan berkesan yang membabitkan pendidikan dan penyediaan antivenom akan mengurangkan kematian akibat gigitan ular di India,” katanya.