fbpx
Now Reading
Bekas Penuntut Dakwa Jadi Mangsa Gangguan Seksual Pensyarah Di Sebuah Universiti Tempatan

Bekas Penuntut Dakwa Jadi Mangsa Gangguan Seksual Pensyarah Di Sebuah Universiti Tempatan

Menerusi TikTok, Farah turut berkongsi satu rakaman suara dari WhatsApp dipercayai milik pensyarah berkenaan yang merayu agar perkara itu diselesaikan dengan baik.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Isu gangguan seksual bukanlah satu isu baharu di negara kita. Malah gangguan oleh golongan ‘predator’ ini boleh berlaku di mana-mana sahaja baik di kawasan tertutup mahu pun di kawasan terbuka termasuklah di tempat kerja dan juga di pusat pendidikan.

Terbaharu tular di media sosial apabila seorang wanita mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual oleh seorang pensyarah di universitinya.

Lebih mengejutkan apabila gadis ini mendakwa ianya sudah berlaku setahun yang lalu namun belum berjaya diselesaikan oleh pihak bertanggungjawab.

Diminta bantu jawab soal selidik dari ‘rakan’ pensyarah di universiti berbeza

Mengakui kejadian tersebut mengubah hidupnya, Farah mendakwa semuanya bermula apabila pensyarah berkenaan meminta bantuannya untuk menjadi responden bagi satu kajian penyelidikan yang dilakukan seorang rakan pensyarahnya di universiti berbeza.

Menerusi kaji selidik tersebut, kami dapati hampir kesemua soalan melibatkan seks dan berbaur lucah.

Namun atas dasar percayakan golongan pendidik, wanita ini yang ketika itu masih bergelar pelajar universiti kemudiannya bertindak menyertai kaji selidik tersebut.

Terima panggilan lucah, pensyarah dakwa sedang onani & siap ajak buat sama

Namun siapa sangka, niat baiknya untuk membantu menjawab soal selidik tersebut berakhir dengan dia menjadi mangsa gangguan seksual pensyarah berkenaan.

Menerusi salinan laporan polis yang disertakan, Farah yang kini sudah tamat belajar mendakwa pensyarah itu telah menghubunginya.

Namun sepanjang perbualan itu, pensyarah itu berulang kali membangkitkan soalan seks selain memberi bayangan yang dia sedang melakukan onani. Lebih menjijikkan apabila dia turut mengajak wanita itu untuk berbuat perkara sama.

Buat laporan polis

Risau akan keselamatan dirinya, gadis berusia 23 itu kemudian membuat satu laporan polis ekoran dari ganguan yang diterimanya.

Tindakan Farah membuatkan pensyarah itu kemudian menghubunginya sekali lagi dan memohon maaf serta meminta dia agar menarik semula laporan yang telah dilakukan.

Menerusi TikTok, Farah turut berkongsi satu rakaman suara dari WhatsApp dipercayai milik pensyarah berkenaan yang merayu agar perkara itu diselesaikan dengan baik.

Pihak universiti sudah hubungi farah, kes masih dalam siasatan

Farah ketika dihubungi berkata, dia baru sahaja menerima satu panggilan dari seorang pensyarah dari Hal Ehwal Universiti (HEA) berkenaan selepas isu itu tular.

Jelasnya, pihak universiti masih lagi menunggu hasil siasatan dari pihak berkuasa.

Namun dia sedikit terkejut apabila pihak universiti itu memaklumkan pensyarah lelaki itu mendakwa kes berkenaan sudah pun diselesaikan dengan pihak berwajib.

Ini jelas berbeza dengan maklumat yang baru diterimanya dari pegawai penyiasat (IO) yang memaklumkan kes itu masih lagi dalam siasatan.

Dia kemudiannya berkongsi kepada BuzzKini tangkap layar perbualan WhatsApp di antara dia dan pegawai penyiasat berkenaan.

Hanya pensyarah import, bukan dari kampusnya

Tambah wanita itu lagi, pensyarah itu sebenarnya bukanlah pengajar asal dari kampusnya. Sebaliknya dia dipinjamkan dari cawangan berdekatan kerana kampus Farah pada waktu itu kekurangan tenaga pengajar.

Berhubung dengan dakwaan kertas soal selidik itu dilakukan oleh seorang rakan pensyarah berkenaan dari universiti lain, Farah menjelaskan ia hanyalah alasan yang digunakan pensyarahnya itu demi tujuan tidak baik.

“Kertas soal-selidik (dengan logo universiti berbeza) itu pensyarah saya guna ‘as excuse’ sahaja. Untuk kepentingan diri dia sendiri.

“Kertas itu diada-adakan (tidak wujud). Dia cakap dengan saya dia tolong kawan dia untuk cukupkan responden bagi kaji selidik tu,” kata Farah kepada BuzzKini lagi.

Di hujung perbualan, Farah berharap isu ini dapat diselesaikan dengan segera memandangkan ia sudah berlanjutan selama satu tahun.

“Saya memang mahu pihak polis percepatkan kes ini memandangkan saya sudah menunggu lama. Setakat ini hanya pihak universiti yang sudah menghubungi saya.”

Menerusi semakan kami di Twitter, pihak universiti sudah pun membalas ciapan gadis ini dan memintanya untuk menyemak peti mesejnya.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.