“Ustaz Saya Nak Keluar Asnaf”- Individu Hantar Surat Pada LZS, Minta Batalkan Nama Sebagai Penerima Zakat
Individu tersebut turut memaklumkan dalam suratnya bahawa dia bakal menerima pendapatan bulanan yang stabil menjelang September 2022 nanti.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Pemberian zakat merupakan salah satu bentuk bantuan yang dihulurkan kepada golongan yang tertentu sebagai contoh mereka yang tidak berkemampuan, muallaf (yang baru masuk agama Islam), serta banyak lagi.
Pemberian ini kebiasaanya melalui beberapa proses permohonan untuk menentukan seseorang itu benar-benar layak untuk menerimanya serta berada dalam golongan asnaf yang sudah ditetapkan.
Terima surat untuk batalkan nama dari penerima zakat
Baru-baru ini, Lembaga Zakat Selangor(LZS) telah berkongsi di laman Facebook berhubung sepucuk surat yang diterima oleh pihaknya berkenaan pembatalan nama sebagai penerima zakat.
Dalam hantaran tersebut, pihak LZS memaklumkan bahawa pihaknya menerima sepucuk surat pada 12 Ogos lalu oleh seorang asnaf yang menerima zakat.
Oleh itu, pihaknya telah membuat panggilan telefon bagi memastikan hasrat individu tersebut adalah benar.
“Ustaz, saya nak keluar asnaf”
“Ustaz, saya nak keluar asnaf. Insya-Allah, pendapatan saya dah semakin baik dan cukuplah zakat bantu saya sebelum ni, tentu ramai lagi yang memerlukan bantuan dari zakat.
“Terima kasih pembayar zakat…,” kata individu tersebut.
Bakal mempunyai pendapatan yang stabil
Menerusi surat tersebut, individu itu menyatakan bahawa dia bakal mempunyai pendapatan bulanan yang dijangka stabil pada bulan September 2022.
Justeru itu, dia memaklumkan kepada pihak pengurusan zakat Seksyen 8, Bandar Baru Bangi untuk membatalkan namanya daripada terus menerima bantuan.
Pihak LZS dalam masa yang sama turut mendoakan agar dia terus berjaya meskipun sedang melalui saat getir ketika ini.
“Bila kita berada pada fasa endamik, langkah semakin jauh dan semakin gigih berusaha, maka hasilnya seperti yang sering kita dengar “Man Jadda Wa Jada” (barang sesiapa yang bersungguh-sunguh ia akan dapat) setiap usaha pasti berjaya.
“Alhamdulillah, semoga asnaf ini akan terus berjaya melalui saat getir ketika ini,” tulis LZS.
Ramai mendoakan kejayaan asnaf ini
Melihat di ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial turut mendoakan individu tersebut serta ada yang memuji dia merupakan seorang yang amanah dan patut dicontohi.