fbpx
Now Reading
Video Jalur Gemilang Dinaikkan Terbalik Semasa Raptai Hari Kebangsaan Cetus Pelbagai Reaksi

Video Jalur Gemilang Dinaikkan Terbalik Semasa Raptai Hari Kebangsaan Cetus Pelbagai Reaksi

Menurut laporan AirTimes yang berada di lokasi kejadian, sebaik lagu Negaraku selesai dimainkan, bendera berkenaan telah diturunkan dan dipasang dengan betul sebelum ia kembali dikibarkan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Umum pasti mengetahui kita tinggal dua hari sahaja lagi untuk menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-65.

Bagi tahun ini, sambutan dan Perarakan Hari Kebangsaan 2022 akan berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur dengan suasana yang pastinya lebih meriah selepas dua tahun ianya diadakan dalam skala kecil ekoran kebimbangan penularan wabak Covid-19.

Sehubungan itu, semua agensi dan pihak yang terlibat dengan sambutan pastinya akan berlatih dan melakukan raptai bagi memastikan acara rasmi yang akan berlangsung kelak berjalan dengan lancar.

Namun sejak petang tadi, 29 Ogos, tular di media sosial video memperlihatkan salah satu bendera Malaysia, Jalur Gemilang dipasang dan dinaikkan secara terbalik dipercayai ketika raptai penuh sedang berlangsung.

Mungkin tidak disedari oleh penganjur, insiden berkenaan yang berlaku di kawasan pentas utama ketika nyanyian lagu Negaraku telah mendapat perhatian banyak pihak hingga mula tular dan sohor selepas dikongsikan oleh para pengguna di Facebook dan Twitter.

Ianya mencetuskan perdebatan apabila ada yang tertanya-tanya apakah sebenarnya yang terjadi apatah lagi ianya melibatkan banyak anggota dan pegawai dari agensi keselamatan negara.

Ada yang merasakan ia adalah satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab memandangkan insiden bendera terbalik pernah beberapa kali berlaku hingga menjadi topik hangat di media sosial.

Dalam masa sama, ada juga yang merasakan ianya hanyalah satu kesilapan teknikal malah itulah tujuan sebenar raptai dilakukan iaitu bagi memastikan acara sebenar berlangsung dengan sempurna.

Bendera telah diturunkan dan dipasang dengan betul selepas lagu Negaraku selesai

Menurut laporan AirTimes yang berada di Dataran Merdeka semasa insiden berlaku, sebaik lagu Negaraku selesai, bendera berkenaan telah diturunkan dan dipasang dengan betul sebelum ia kembali dikibarkan.

Malah mereka yang menemui seorang pegawai tentera yang berada di tempat kejadian turut merasakan ia bukanlah sesuatu yang pelik kerana tujuan raptai diadakan adalah untuk memastikan acara pada hari sebenar berjalan dengan sempurna.

“Dari raptai boleh kesan kesilapan dan kelemahan”

“Dalam raptai apa pun boleh terjadi. Kenderaan boleh rosak, sistem audio boleh tidak berfungsi, baju pun boleh kotor. Ini adalah sebabnya mengapa raptai perlu dilakukan beberapa hari sebelum acara sebenar berlangsung,

“Dari raptai, kita boleh kesan kesilapan dan kelemahan. Jadi, apa yang berlaku adalah salah satu daripada lipatan kisah dalam raptai. Melalui raptai jugalah kita akan membuat tugasan kita dengan lebih sempurna,” katanya kepada AirTimes.

Tambah beliau lagi, upacara menaikkan dan menurunkan bendera merupakan satu tradisi yang utama dalam mana-mana istiadat TLDM.

“Atas sebab itu juga, raptai dilaksanakan berulang kali demi memastikan kesempurnaan hari sebenar,” tambahnya.

Setakat artikel ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan rasmi dari mana-mana pihak berhubung isu tular ini.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.