fbpx

“Saya Dibesarkan Untuk Sentiasa Berkata Benar” – Rosmah Mansor

Datin Seri Rosmah sewaktu rayuan turut menjelaskan dia tidak campur tangan dengan urusan suaminya, Datuk Seri Najib Razak.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Umum pasti mengetahui, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis (1 September) telah menjatuhakan ukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta terhadap Datin Seri Rosmah Mansor yang didapati bersalah atas tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan tersebut selepas mendapati Rosmah yang juga isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak gagal menimbulkan keraguan yang munasabah di akhir pembelaan.

Baca artikel berkaitan : Bersalah Atas Tuduhan Terima & Minta Rasuah, Rosmah Dipenjara 10 tahun & Denda RM970 Juta

Namun Rosmah ketika mengemukakan rayuan sebelum hukuman dijatuhkan dilihat menangis dan meluahkan rasa sedih dengan keputusan tersebut. Dia turut menjelaskan tidak menipu dan turut berpesan perkara sama kepada pasukan peguamnya.

“Saya sangat sedih dengan keputusan hari ini (semalam), saya terluka. Saya dibesarkan untuk sentiasa berkata benar dan tidak menipu. Begitu juga saya terapkan kepada anak-anak.

“Bagaimanapun saya hormat dengan keputusan yang dibuat oleh mahkamah ini. Saya mahu tinggalkan mahkamah ini kenangan yang manis. Ini membabitkan program Permata saya memberikan segalanya terhadap Yayasan itu. Saya sangat berminat dengan projek pertama saya ini. Saya mengambil berat masa depan kanak-kanak yang dibuli di sekolah dan mengalami gangguan seksual.

“Bayangkan ketika itu saya dan golongan profesional lain duduk berbincang untuk menghasilkan program ini. Kalau mahu bentuk negara kena bermula usia empat tahun. Disebabkan itu wujud Permata, Permata Kurnia. Saya gembira dapat berbakti kepada negara,” kata Rosmah.

Foto : Malaymail

Tidak pernah ada niat untuk meminta rasuah

Tambahnya lagi, dia tidak pernah mempunyai niat untuk meminta atau menerima rasuah. Malah dia mendedahkan tiada pihak yang pernah melihatnya memegang duit tersebut.

“Yang Arif, saya tidak pernah mempunyai niat meminta atau menerima rasuah. Saya tidak tahu ia membabitkan jumlah yang banyak. Yang Arif saya mengendalikan Yayasan Permata ia mempunyai dana sebanyak RM45 juta dan saya tidak pernah sekali pun mengusiknya, sebab itu kes ini menyakitkan saya, apabila saya dituduh berbuat demikian.

“Saya boleh buat pada tempat lain tidak perlu minta pada Jepak (Pengarah Urusan Jepak Holding iaitu Saidi Abang Samsudin). Yang kenal adalah Rizal (Datuk Rizal Mansor) dan saya sudah minta Rizal berhati-hati dengan dia. Saya tidak minta dia (Rizal) berjumpa mereka.

“Tiada siapa nampak saya ambil duit, tiada siapa nampak saya mengira duit…. tapi jika itu kesimpulannya.

“Saya serah segalanya kepada Allah. Siapa yang betul dan siapa salah lambat laun akan keluar juga,” luah wanita itu lagi.

Foto : Malaymail

Dakwa tidak campuri urusan Najib

Jelas Rosmah lagi, beliau juga langsung tidak mencampuri urusan Najib sewaktu memegang tampuk kepimpinan negara.

“Saya tidak campur tangan dengan urusan suami (Datuk Seri Najib Razak). Setiap kali saya membuka mulut, beliau akan mengatakan ‘anda hanya isteri saya, jangan campur tangan’. Ia mungkin berlaku kepada saya tetapi ia juga mungkin boleh berlaku kepada anda dan anak-anak anda. Kamu lakukan kepada suami saya, kamu mahu saya juga menderita, kami sudah menderita. Saya harap Yang Arif dapat mempertimbangkan saya sebagai seorang wanita yang menjalankan tanggungjawab sebagai lelaki di dalam rumah.”

Mahkamah Tinggi dapati ia adalah sebaliknya

Kenyataan berkenaan bagaimanapun disanggah Mahkamah Tinggi apabila mereka mendapati Rosman sebenarnya telah mendominasi Najib.

Menurut Hakim Mohamed Zaini, walaupun Rosmah tiada urusan dalam hal ehwal kerajaan, Rosmah tetap melakukan perbuatan tersebut.

“Bekas Pegawai Khas Rosmah, Datuk Rizal Mansor menyatakan wanita itu mempunyai sifat sombong dan kebolehan untuk mempengaruhi keputusan dalam perkhidmatan awam.“Rizal telah bekerja dengannya selama beberapa tahun dan menyaksikan sikap Rosmah secara peribadi,” kata Mohamed Zaini.

Sebagai info, Hakim Mohamed Zaini ketika menjatuhkan hukuman bagaimanapun membenarkan permohonan Rosmah untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman dan denda bagi menunggu proses rayuan di Mahkamah Rayuan.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.