fbpx
Now Reading
Penculik Minta RM6,000 Sebagai Wang Tebusan, Ugut Lempar Kucing Jika Pemilik Gagal Bayar
Kucing diculik, pemilik diugut bayar wang tebusan RM6,000

Penculik Minta RM6,000 Sebagai Wang Tebusan, Ugut Lempar Kucing Jika Pemilik Gagal Bayar

Menurut pemilik kucing berkenaan, kucingnya bukan hanya diculik malah turut menerima ugutan haiwan itu akan dibuang sekiranya gagal menyediakan wang berjumlah RM6,000.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Kucing merupakan haiwan peliharaan yang sering menjadi kegemaran ramai, sifat mereka yang manja membuatkan tuannya terlalu menyayangi haiwan ini.

Malah, ada yang sanggup melakukan apa sahaja demi memastikan kesejahteraan dan kebajikan haiwan perliharaan mereka terjaga.

Kucing diculik, pemilik terima ugutan untuk beri wang tebusan

Baru-baru ini, seorang lelaki berdepan dengan situasi cemas apabila kucing kesayangan miliknya telah diculik, selain menerima ugutan untuk memberikan wang tebusan jika mahu haiwan tersebut selamat.

Menerusi perkongsian yang dikongsikan oleh Persatuan Haiwan Malaysia di laman Facebook miliknya, insiden itu terjadi dikediamannya di Taman Kwan Ming, Kuching, Sarawak, selepas menyedari si comel itu hilang pada 1 September lalu.

Muat naik poster kehilangan kucing

Setelah menyedari kehilangan haiwan berkenaan, pengadu telah mengiklankan satu poster berhubung kehilangan kucing itu dan memuat naik perkara itu di laman Facebook miliknya.

Pengadu kemudian menerima satu pesanan melalui aplikasi WhatsApp yang mengaku telah menculik kucing tersebut dan menghantar gambar bersama video kucing itu.

Penculik minta wang tebusan RM6,000, ugut lempar kucing dalam sungai

Apa yang lebih mengejutkan lagi, penculik itu turut meminta wang tebusan sebanyak RM6,000 jika mahu kucing tersebut selamat selain mengugut akan mencampakkan haiwan itu jika gagal menyediakan wang terbabit.

“Penculik mengugut pemilik untuk melemparkan kucing ke dalam sungai berdekatan jika pemilik gagal membuat bayaran wang tebusan.

“Sungai tersebut mengikut pandangan pemilik adalah sungai besar yang dalam dan berbahaya serta dikhuatiri mempunyai haiwan pemangsa seperti buaya.

“Penculik juga telah memberi amaran kepada pemilik supaya hadir membawa wang yang diminta seorang diri dan menjaga tingkah laku dan tidak membuat tindakan yang boleh menimbulkan kemarahan penculik untuk selamat,” tulis persatuan itu.

Satu laporan polis telah dilakukan, kes jenayah penculikan pertama di Malaysia yang melibatkan wang ribuan ringgit

Berikutan dengan insiden tersebut, Presiden Persatuan Haiwan Malaysia, Arie Dwi Andika memaklumkan satu laporan telah dilakukan selepas sehari ugutan diterima di Balai Polis Sekama, Kuching, Sarawak.

Beliau dalam pada itu, turut memaklumkan bahawa kes ini merupakan kes jenayah penculikan pertama di Malaysia yang melibatkan kucing dan tebusan ribuan ringgit.

“Animal Malaysia melahirkan rasa bimbang jika jenayah peculikan haiwan bakal berleluasa jika tiada tindakan tegas diambil pihak berkuasa. Bermula daripada penculikan dan ugutan tebusan terhadap kucing.

“Ia juga merupakan jenayah berat yang boleh menular kepada kanak-kanak dan orang dewasa lain jika tidak segera dicantas,” jelas beliau.

Merayu agar pihak berkuasa ambil tindakan segera

Arie Dwi dalam pada masa yang sama, turut merayu kepada pihak polis di bahagian Sarawak untuk memandang serius tentang kes ini serta mengambil tindakan segera supaya penculik tersebut tertangkap.

“Jenayah penculikan kucing juga perlu diberi perhatian serius dan perlu dianggap jenayah berat memandangkan ia melibatkan nyawa, wang ringgit, emosi pemilik dan keselamatan jangka panjang semua pihak.”

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.