fbpx
Now Reading
MUDA Mahu Sertai Pakatan Harapan, Sasar 15 Kerusi Parlimen Bagi PRU 15 [Video]

MUDA Mahu Sertai Pakatan Harapan, Sasar 15 Kerusi Parlimen Bagi PRU 15 [Video]

Menurut Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Muar, perkara itu diputuskan melalui Persidangan Pilihan Raya MUDA yang berlangsung sejak semalam (6 September).

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) sebentar tadi mengumumkan bersetuju untuk menyertai Pakatan Harapan (PH) sebagai salah satu parti komponen dalam gabungan itu.

Menurut Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Muar, perkara itu diputuskan sewaktu Persidangan Pilihan Raya MUDA yang berlangsung sejak semalam (6 September).

Sehubungan itu, jelas Syed Saddiq, MUDA terbuka untuk mengadakan perbincangan secara rasmi dengan Majlis Presiden PH berhubung perkara itu.

“Muda terbuka membincangkan secara rasmi dengan Majlis Presiden PH tentang hala tuju negara untuk memastikan suara rakyat diangkat dan bina Malaysia maju dan bermaruah serta meraikan kepelbagaian agama dan kaum.

“Bukan sekadar kolaborasi dengan PH (untuk PRU15) tapi bermula perbincangan awal untuk penyertaan blok stabil dengan prinsip perjuangan yang sama.

“Saya tidak boleh ulas lanjut sehingga adanya rundingan rasmi,” katanya pada sidang media yang disiarkan secara langsung di laman Facebook MUDA sebaik persidangan selesai.

Malah menurutnya perbincangan secara tidak rasmi bagi penyertaan Muda dalam PH telah dilakukan sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lagi.

“Ini perbincangan tidak rasmi. Tapi selepas keputusan rasmi dibuat di peringkat MUDA, tindakan seterusnya, kita akan adakan perbincangan rasmi.

“Keutamaan bagi MUDA adalah untuk memastikan pasukan ini memenangi PRU dan mengukuh serta mengangkat martabat rakyat, bukan soal kerusi semata-mata,” kata Syed Saddiq.

Mahu bertanding di 15 kerusi parlimen

Dalam pada itu,  Syed Saddiq turut berkata, MUDA menyasarkan untuk bertanding di 15 kerusi Parlimen pada PRU akan datang termasuk di Parlimen Muar, yang ketika ini diwakilinya.

“Kita (MUDA) bukan melihat kerusi Parlimen satu kawasan saja, malah kita juga melihat semua kerusi Parlimen di setiap negeri termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Kita juga ada pasukan yang kuat di Borneo, jadi kita akan letak calon di sana,” katanya turut menjelaskan tawaran MUDA untuk PRU ke-15 untuk menampilkan calon berwibawa, mengangkat kepemimpinan wanita dan orang muda serta membawa idea yang progresif untuk rakyat.

Terdahulu, pada Isnin (5 September), Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata isu penyertaan MUDA ke dalam PH tidak pernah disentuh dalam mesyuarat Majlis Presiden PH walaupun pimpinan parti baharu itu kerap menyertai program anjuran pihaknya.

Namun beliau menjelaskan kerjasama di antara PH MUDA berjalan baik ketika ini.

“PH belum membincangkan hal ini, perkara ini tidak berbangkit. Soal kerjasama dan perbincangan tiada masalah, ia berjalan baik dalam kalangan pembangkang.

“Tapi untuk penyertaan (MUDA) dalam PH, belum dibincangkan Majlis Presiden PH,” kata Ketua Pembangkang itu.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.