“KA Sedang Mencari Pengganti Baru” – Bekas PA Khairul Aming Tampil Mohon Maaf, Akui Dapat Banyak Pengajaran
Bekas pengurus itu, turut memaklumkan akan mengikuti kelas PR untuk memperbaiki kemahiran komunikasinya.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Minggu lalu kecoh di media sosial selepas seorang individu mendakwa pengurus kepada influencer dan usahawan terkenal, Khairul Aming berperangai kekwat.
Perkara itu telah mendapat perhatian ramai sehingga ada yang berkongsi pernah berdepan perkara sama apabila menerima layanan hampir serupa oleh pengurus terbabit.
Susulan daripada isu berkenaan, Khairul Aming telah tampil memohon maaf serta memberi penjelasan dan memaklumkan telah melakukan beberapa tindakan untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Baca artikel berkaitan: Isu Tular PA SambalNyet ‘Kekwat’, Khairulaming Tampil Perjelas Isu & Mohon Maaf
Bekas pengurus Khairul Aming Tampil mohon maaf
Terbaharu hari ini bekas pengurus usahawan terkenal itu, Ahmad Fadhilat Fitri Ismail menerusi muat naik di Instagramnya telah tampil memohon maaf serta mengakui dirinya mempunyai kelemahan untuk berdepan dengan situasi dalam tekanan.
“Saya memohon maaf atas kesilapan saya pada tempoh hari, dengan rendah hatinya saya meminta ribuan kemaafan kepada mereka yang pernah bekerjasama dengan saya secara terus atau tidak. Saya akui saya mempunyai kelemahan dalam menghadapi situasi dalam tekanan.
“Buat masa ini, saya akan cuba membuat perubahan untuk masa akan datang. Banyak hikmah dan pengajaran yang telah saya dapat sepanjang penularan isu ini,” tulisnya di dalam hantaran itu.
Akui isu tular memberi banyak pengajaran pada diri
Jelas bekas pengurus itu lagi, dia mengakui terdapat banyak pengajaran yang telah dipelajarinya ketika isu tersebut menjadi tular dan memaklumkan secara rasminya dirinya tidak lagi menjadi pengurus kepada usahawan terkenal itu selepas kes berkenaan berlaku.
Menurut Ahmad Fadhilat Fitri, bekas majikannya itu juga kini sedang mencari pengganti yang baru untuk mengendalikan semua kerja yang berkaitan.
“Dia (KA) juga sedang mencari pengganti yang baru untuk mengendalikan semua kerja. Jadi semua media sosial saya ini hanya untuk peribadi saya sahaja dan tiada kaitan dah dengan kerjaya dia,” katanya lagi.
Maklum akan perbaiki kemahiran komunikasi dan minta orang ramai tidak bincangkan lagi isu yang tular
Sementara itu, dia turut memaklumkan akan memperbaiki kemahiran komunikasi dengan menyertai kelas-kelas PR (Perhubungan Awam) serta kelas-kelas yang berkaitan.
Katanya, isu yang tular ini turut menjadikan dirinya lebih insaf dan mengingati Allah dan meminta orang ramai untuk tidak lagi membincangkan isu berkenaan lagi.
“Akhir kata, yang buruk memang datang daripada saya sendiri dan kejadian ini telah menyebabkan saya untuk lebih insaf mengingati Allah.
“Saya mohon jasa baik semua untuk tidak lagi membincangkan hal ini dan diharapkan dari kerjasama semua orang,” jelas bekas pengurus Khairul Aming itu.