fbpx
Now Reading
Polis Filipina Selamatkan Wanita Malaysia Selepas Diculik ‘Kekasih Online’

Polis Filipina Selamatkan Wanita Malaysia Selepas Diculik ‘Kekasih Online’

Tindakan pantas Polis Filipina selain info yang diberikan mangsa akhirnya berjaya menyelamatkannya sekaligus menumpaskan kes penculikan itu.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Seorang rakyat Malaysia berdepan detik ngeri apabila diculik oleh ‘teman lelaki’ dalam taliannya sewaktu pertemuan kali pertama di bandar Cavite, Filipina.

Bukan setakat diculik, lelaki tersebut yang dikenali sebagai ‘Jerry’ turut meminta wang tebusan dari keluarga wanita berkenaan yang berada di Malaysia.

Lim Voon Phei, 35 bagaimanapun bernasib baik apabila berjaya diselamatkan oleh Polis Filipina sehingga tertangkapnya dua suspek iaitu Justine Alaraz, 28, seorang rakyat Filipina dan Chan Yong Howe, 29, seorang rakyat Malaysia.

Menurut laporan PNA, Voon Phei baru sahaja tiba di Manila pada 9 September lalu untuk bertemu dengan seorang lelaki bernama Jerry yang dikenalinya menerusi satu aplikasi janji temu (dating app).

Sebaik tiba di lapangan terbang, dia kemudian dijemput oleh ‘Jerry’ iaitu salah seorang dari suspek untuk dibawa ke sebuah rumah di Carmona, Cavite yang terletak 40KM ke arah selatan.

Di sana, dia kemudian dikurung oleh kedua-dua suspek dan dipaksa menghubungi keluarganya bagi meminta wang tebusan.

Foto : Manila Bulletin

Dapat kongsi gambaran suspek dan kereta yang digunakan mereka

“Dengan menggunakan aplikasi perbualan, mangsa kemudian dapat menghantar mesej kepada keluarganya bagi meminta wang tebusan PHP300,000 (RM26,000).

“Namun dia pada masa sama berjaya berkongsi beberapa info tentang penculik dan kenderaan yang digunakan suspek tanpa disedari mereka,” kata Ketua Polis Kebangsaan Filipina, Rodolfo Azurin.

Dengan berpandukan maklumat yang diterima, Polis Filipina pada Isnin (12 September) kemudiannya melancarkan operasi menyelamat dan berjaya memintas kenderaan terbabit di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino lalu menahan kedua-dua suspek.

Mereka kemudiannya menyerbu rumah terbabit dan berjaya membebaskan mangsa.

Mungkin berkait sindiket pemerdagangan manusia

Menurut Setiausaha Jabatan Dalam Negeri dan Kerajaan Tempatan Filipina, Benjamin Abalos Jr., Voon Phei mungkin menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia.

Foto : PNA/ Robert Oswald P. Alfiler

Namun tindakan pantas pasukan polis di sana berjaya mematahkan sindiket itu selain menyelamatkan wanita berkenaan.

Menerusi sidang media tersebut, dia turut mendedahkan wajah kedua-dua suspek kepada media. Kedua-dua mereka kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Filipina di bandar Quezon.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.