fbpx
Now Reading
Trend Bercuti Ke Luar Negara Termasuk Thailand Boleh Jejaskan Nilai Ringgit, Kata Pakar

Trend Bercuti Ke Luar Negara Termasuk Thailand Boleh Jejaskan Nilai Ringgit, Kata Pakar

Difahamkan sejak Januari hingga Ogos tahun ini, seramai 647,648 rakyat Malaysia sudah direkodkan masuk ke Thailand.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Pembukaan semula sempadan negara pada 1 April 2022 selepas lebih dua tahun ditutup akibat Covid-19 menyaksikan sektor penerbangan kembali rancak.

Ramai yang mula terbang ke luar negara baik untuk tujuan melancong, melawat keluarga yang tinggal di luar negara selain atas urusan perniagaan.

Bagi mereka yang mahu melancong tanpa mengeluarkan modal yang besar, destinasi utama yang menjadi pilihan pastinya negara jiran kita iaitu Thailand.

Mungkin faktor kedudukannya yang dekat selain nilai matawang yang hampir sama dengan Ringgit menyebabkan ramai rakyat Malaysia lebih gemar ke Negara Gajah Putih itu berbanding Singapura dan Brunei.

Malah ia boleh dilihat apabila pos sempadan Malaysia-Thailand sesak dengan ribuan rakyat Malaysia yang mengambil peluang memasuki Thailand cuti Hari Malaysia pada hujung minggu yang lalu.

Foto : Utusan/ Izlizan Othman

Beri kesan buruk kepada ekonomi negara jika tiada usaha seimbangkan aliran

Namun siapa sangka, trend percutian ini yang menyaksikan lebih banyak aliran keluar mata wang ringgit Malaysia (RM) dibimbangi boleh memberi kesan buruk dalam jangka masa panjang kepada negara.

Malah dalam keadaan nilai ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS$), ini bukanlah satu petanda baik.

Menurut laporan Utusan, Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi dan Kewangan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, situasi ini tidak baik untuk ekonomi negara jika ianya berlaku secara berterusan tanpa ada usaha untuk menyeimbangkan kedua-dua aliran tunai berkenaan.

“Pilihan ada di tangan masing-masing, tetapi, dari sudut ekonomi kita yang akan rugi kerana duit banyak mengalir keluar. Wang tunai sepatutnya ‘berkitar’ dalam negara dengan menggalakkan lebih banyak kegiatan pelancongan sekali gus meningkatkan ekonomi domestik.

“Aliran keluar masuk wang tunai mesti seimbang. Jadi, kerajaan perlu mengadakan kempen-kempen bagi menggalakkan lebih ramai warga Thailand atau negara yang bersempadan melancong ke Malaysia seperti mana rakyat kita sendiri melancong ke luar negara,” katanya kepada Utusan.

Trend melancong ke luar punca ekonomi negara semakin tiris

Menurut Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid pula, trend ini telah juga telah menyebabkan ekonomi negara semakin tiris kerana pendapatan warga Malaysia berjumlah antara RM1,000 hingga RM4,000 tidak dibelanjakan dalam negara.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar kerajaan menawarkan insentif melancong dalam negara menerusi Belanjawan 2023 seperti pelepasan cukai bagi menggalakkan warga Malaysia melancong di negara sendiri.

“Jika trend pengaliran keluar ringgit ini terus berlaku, keadaan akan semakin teruk dan ringgit menjadi lemah. Jika wang tidak dibelanjakan dalam negara, ekonomi negara semakin bocor.

“Kita tidak boleh menghalang orang lain daripada melancong ke luar negara, tetapi di sini kempen cuti-cuti Malaysia harus mainkan peranan, tetapi yang saya lihat kempennya senyap sahaja,” katanya

Difahamkan sejak Januari hingga Ogos tahun ini, seramai 647,648 rakyat Malaysia sudah direkodkan masuk ke Thailand.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.