Ayah Sudah Tidak Nampak, Tapi Sahabat Selalu Datang Pimpin Bawa Ke Masjid [Video]
Video yang memaparkan aksi dua sahabat berpimpin tangan sambil berjalan menuju ke masjid itu turut membuatkan ramai tersentuh.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Mencari seorang rakan bukanlah suatu perkara yang sukar, malah kita boleh berkawan dengan beribu orang.
Namun, untuk mencari seorang sahabat yang sentiasa berada dengan kita di saat susah dan senang bukanlah suatu perkara yang mudah.
Apatah lagi jika mahu mencari rakan yang bersama-sama mahu menuju ke jalan Allah SWT sehingga ke hari tua.
Warga emas jalan pimpin tangan ke masjid
Baru-baru ini, tular satu video di TikTok yang dikongsikan oleh @_4clover_, memaparkan dua orang warga emas yang sedang berjalan berpimpin tangan untuk ke masjid sehingga menyentuh hati orang ramai.
Dalam video tersebut, wanita itu menyatakan bahawa penglihatan bapanya sudah terbatas.
Namun, siapa sangka betapa bertuahnya ayah wanita ini apabila mempunyai seorang sahabat yang akan datang setiap hari untuk membawanya ke masjid.
Bapa sudah tidak nampak
“Ayah dah tak nampak, tapi sahabat ayah hari-hari datang tolong bawakan ke masjid,” kata wanita itu.
Menerusi kapsyen dia turut berdoa agar sahabat ayahnya itu diberikan jaminan syurga kerana telah membantu untuk menjaga ayahnya.
“Terima kasih pakcik selalu jagakan ayah di masjid semoga syurga buatmu,” tulisnya.
Jika berpeluang akan hantar ke masjid
Manakala di ruangan komen pula, dia turut memaklumkan apabila mempunyai peluang dia juga akan membawa ayahnya itu ke masjid. Tetapi dia juga mahu menghormati sahabat bapa yang sudah menunggu di hadapan rumah.
Ramai tersentuh lihat persahabatan pakcik ini
Video yang berdurasi selama 24 saat itu, bukan sahaja membuatkan orang ramai tersentuh malah ia turut menarik perhatian selebriti terkenal, Nur Fazura yang turut mendoakan agar kita semua juga akan dikurniakan sahabat yang baik seperti pakcik itu.