fbpx
Now Reading
Bajet 2023: Ini Antara Senarai Inisiatif & Bantuan Yang Diumumkan Kerajaan

Bajet 2023: Ini Antara Senarai Inisiatif & Bantuan Yang Diumumkan Kerajaan

Inisifatif ini dijangka dapat membantu Keluarga Malaysia, bukan sekadar kumpulan B40 tetapi juga M40, wanita, belia, OKU dan semua segmen masyarakat.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini (7 Oktober) membentangkan Bajet 2023 bertemakan Keluarga Malaysia, Makmur Bersama berjumlah RM 372.3 bilion.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan dokumen penting itu Dewan Rakyat berkata, ianya akan responsif kepada sebarang cabaran dan melalui bantuan yang komprehensif kepada Keluarga Malaysia, bukan sekadar kumpulan B40 tetapi juga M40, wanita, belia, OKU dan semua segmen masyarakat.

Sewaktu pembentangan tersebut, beliau turut mengumumkan beberapa inisiatif bantuan kepada rakyat Malaysia.

Bagi memudahkan anda, di bawah kami kongsikan beberapa senarai bantuan atau inisiatif yang menarik untuk rujukan anda:

#1 Bantuan BKM yang ditambah baik

Secara amnya Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) akan memberi manfaat kepada 8.7 juta penerima dengan peruntukan 7.8 bilion ringgit.

Untuk tahun 2023, kerajaan telah memperkenalkan satu kategori baru di bawah BKM iaitu memberikan bantuan secara one-off RM2,500 untuk isi rumah yang berpendapatan RM2,500 ke bawah dan keluarga yang menanggung lima anak ke atas.

Bagi keluarga yang mempunyai satu hingga empat anak pula, BKM bernilai RM1,000 hingga RM2,000 akan diberikan.

“Kepada isi rumah berpendapatan RM2500 hingga RM5,000 layak menerima RM500 hingga RM1,250 bergantung bilangan anak,” katanya dalam pembentangan Bajet 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu kerajaan turut memperkenalkan Inisiatif CahayaMata Keluarga Malaysia iaitu bantuan tunai one-off RM500 kepada ibu isi rumah keluarga BKM yang melahirkan anak pada tahun 2023.

Kepada warga emas tiada pasangan serta golongan bujang pula, mereka akan terus menerima BKM masing-masing sebanyak RM600 dan RM350 bergantung kepada had pendapatan tertentu.

ibu atau bapa tunggal yang mempunyai tanggungan anak pula layak menerima bantuan maksimum sehingga RM3,000. Kadar BKM maksimum ini meningkat berbanding RM2,500 ringgit yang diberikan pada tahun ini.

#2 Diskaun Bayaran Balik PTPTN Naik 5% Ke 20%

Kerajaan bersetuju untuk memberikan tambahan diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN bermula 1 November 2022 hingga 30 April 2023.

Ia bagaimanapun dibahagikan kepada 3 bahagian iaitu:

Pertama: Diskaun 20% atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman

Kedua: Diskaun 15% untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran; dan

Ketiga: Diskaun 15% untuk bayaran secara potongan gaji atau debit terus berjadual.

#3 Peruntukan e-Pemula RM200 Untuk Belia

Kerajaan akan memberi insentif e-Pemula iaitu kredit e-tunai berjumlah RM200 secara one-off kepada belia berusia 18-20 dan pelajar sepenuh masa yang berumur 21 tahun ke atas.

#4 Bantuan Awal Persekolahan RM150 Untuk Setiap Pelajar

Inisiatif bantuan awal persekolahan berjumlah RM825 juta akan diberikan kepada semua pelajar sekolah tanpa mengira had pendapatan ibu bapa.

Menerusi insiatif ini, bantuan RM150 akan diberikan kepada setiap murid, satu amaun tambah baik dari RM100 yang diberikan oleh kerajaan pada tahun lalu.

#5 Pemotongan Cukai Pendapatan dikurangkan 2%

Menurut Tengku Zafrul, kadar cukai pendapatan akan dikurangkan sebanyak 2%.

Bagi banjaran pendapatan bercukai RM50,001 hingga RM70,000, kadar cukai akan turun daripada 13% ke 11% manakala banjaran pendapatan bercukai RM70,001 hingga RM100,000 akan turun daripada 21% ke 19%.

Pada masa yang sama, banjaran pendapatan bercukai lebih RM250,000 hingga RM400,000 akan digabungkan dengan banjaran lebih RM400,000 hingga RM600,000 dan dikenakan kadar cukai 25%.

Dengan layanan khas cukai ini, penjimatan cukai kumpulan pertengahan adalah sehingga RM1,000 dan untuk kumpulan teratas adalah sehingga RM250.

#6 Inisiatif Pas My50 Diteruskan

Inisiatif Pas Bulanan MY50 untuk pengguna perkhidmatan awam di Lembah Klang akan diteruskan oleh kerajaan.

Jelas beliau, inisiatif My50 itu akan memanfaatkan 180,000 warga Lembah Klang untuk ke tempat kerja.

“Bagi mengurangkan kos perjalanan, kerajaan akan meneruskan inisiatif pas bulanan My50 untuk manfaat hampir 180 ribu pengguna. Ini bermakna, My50 sebenarnya mensubsidi pengguna sehingga RM150 ringgit atau RM1,800 setahun.”

#7 Kerajaan tanggung kos bayaran lesen bas, e-hailing, motosikal kelas B2

Bagi membantu kumpulan B40 khususnya belia menjana pendapatan melalui perkhidmatan membawa penumpang seperti teksi, bas dan e-hailing, kerajaan akan menanggung bayaran bagi mendapatkan lesen teksi, bas dan e-hailing di bawah program MyPSV.

Bukani itu sahaja, kerajaan juga bersetuju menanggung bayaran ujian memandu untuk lesen motosikal kelas B2.

#8 Insentif RM100 untuk melancong dalam negeri

Bagi menggalakkan Keluarga Malaysia melancong di destinasi pilihan dalam negara, Kerajaan akan memperuntukkan RM25 juta bagi menyediakan insentif kepada rakyat dalam bentuk diskaun, baucar dan rebat bagi penginapan, pakej pelancongan, kraf tangan dan karya seni sehingga 100 ringgit.

#9 Pengecualian cukai pendapatan untuk wanita yang kembali bekerja

Bagi menggalakkan lebih ramai wanita kembali bekerja setelah mengambil tempoh career break, kerajaan bercadang untuk mengecualikan cukai pendapatan ke atas pendapatan yang diterima mulai tahun taksiran 2023 hingga tahun taksiran 2028.

#10 Bantuan RM500 untuk pencari kerja

Kerajaan melalui PERKESO akan menyediakan bantuan mobiliti sebanyak 500 ringgit kepada pencari kerja yang mendapat pekerjaan di luar negeri bermastautin.

Manakala, bantuan mobiliti 1,000 ringgit melibatkan penghijrahan jarak jauh iaitu dari Sabah atau Sarawak ke Semenanjung dan sebaliknya.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.