fbpx
Now Reading
PU Azman Didakwa Di Mahkamah Atas 5 Pertuduhan Amang Seksual Terhadap Dua Remaja

PU Azman Didakwa Di Mahkamah Atas 5 Pertuduhan Amang Seksual Terhadap Dua Remaja

PU Azman didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Penceramah selebriti terkenal, Azman Syah Alias atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Azman didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini (12 Oktober) atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki pada Februari dan Julai tahun ini.

PU Azman yang berusia 41 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.

Tertuduh lakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki berusia 17 dan 16 tahun

Mengikut tiga pertuduhan, tertuduh telah melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa remaja lelaki berusia 17 tahun dengan cara melakukan perbuatan lucah melampau pada pukul 3.00 pagi hingga 5.00 pagi di ruang tamu dan tandas di sebuah rumah di Taman Tiara Sendayan, Nilai pada 6 Julai lalu.

Selain itu, tertuduh turut berdepan dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa remaja lelaki berusia 16 tahun 10 bulan.

Kesalahan tersebut dilakukan di dalam sebuah bilik di rumah yang sama lebih kurang pukul 8.30 malam hingga 12.0 tengah malam pada 5 Februari lalu dan di ruang tamu rumah sama antara pukul 3.00 petang hingga 6.00 petang pada 6 Julai lalu.

Kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017

Berikutan itu, penceramah tersebut didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Husni Fairos Ramly memohon mahkamah mengenakan jaminan tinggi terhadap tertuduh iaitu sebanyak RM15,000 bagi setiap pertuduhan.

Namun peguam yang mewakili tertuduh, Mohamad Zahid Ahmad memohon jaminan yang rendah atas alasan pendapatan anak guamnya terjejas sejak direman bulan lalu dan memerlukan bantuan keluarga untuk menjaminnya.

“Beliau juga telah hadir hari ini dan menunjukkan kerjasama yang sangat baik. Tertuduh berusia 41 tahun adalah seorang bujang dan turut menanggung keluarga di Rantau, Seremban,” katanya dalam prosiding kes hari ini.

Mahkamah tetapkan jaminan RM40,000 bagi kesemua kesalahan

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM40,000 bagi kesemua kesalahan dan tertuduh dilarang menghampiri mangsa serta saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Selain itu, mahkamah juga menetapkan syarat tambahan iaitu perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran pada Sabtu pertama setiap bulan dan passport tertuduh harus diserahkan kepada mahkamah.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 8 Disember depan untuk serahan dokumen.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.