“Musuh Akan Salah Guna Kuasa..” – Zahid Dakwa Pihak Lawan Putar Belit Ucapannya Di Perhimpunan MIC
Menurut Zahid, musuh BN akan menyalahgunakan kuasa membuat pendakwaan politik sekiranya gabungan tersebut kalah di PRU15.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Baru-baru ini nama Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hangat diperkatakan di media sosial selepas tular video ucapannya sewaktu Perhimpunan Agung MIC ke-76.
Dia di dalam video itu secara terbuka mengatakan betapa pentingnya untuk Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi mengelakkan pemimpinnya berdepan perbicaraan jenayah.
Video tersebut bukan sahaja menarik perhatian rakyat Malaysia malah turut mendapat perhatian pemimpin parti pembangkang termasuklah Lim Kit Siang yang menyifatkan Zahid sebagai ‘seorang yang terlalu jujur’ kerana misinya menyegerakan PRU15 adalah untuk menyelamatkan ‘kluster mahkamah’.
Malah perkara sama turut dibangkitkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad yang berpendapat rakyat sudah masak dan tahu agenda sebenar Zahid.
Baca artikel berkaitan : Rakyat Dah Faham Tujuan UMNO Bertanding Pilihan Raya Untuk Tutup Jenayah – Tun M [Video]
Zahid dakwa kenyataanya diputar belit
Sedar akan perkara tersebut, Zahid akhirnya tampil memberi penjelasan bahawa kenyataannya telah diputar belit oleh pihak lawan bagi menjatuhkan imej pemimpin-pemimpin BN yang lain.
Dia yang tampil menerusi satu hantaran di Facebook berkata, mesej yang cuba disampaikannya adalah pemimpin BN mungkin berdepan pendakwaan politik dan terpilih sekiranya gabungan itu kalah lagi.
“Pada minit 2.35 dengan terang dan jelas saya menegaskan tentang pendakwaan politik dan terpilih. Itulah maksud saya risiko pemimpin BN jika musuh menang PRU15.
“Musuh BN akan menyalahgunakan kuasa membuat pendakwaan politik. Rakyat perlu berhati-hati dengan politik ‘spin’ dan memperdaya (oleh) lawan BN,” kata Zahid.
“Pihak lawan sentiasa putar belit dan menghasut rakyat”
Malah menurutnya kaedah tersebut sudah diamalkan sejak azali malah terbukti berkesan sehingga berjaya memenangi PRU14.
“Itulah kaedah mereka menang PRU-14 dengan memutarbelit, mengelirukan dan menghasut rakyat. Sememangnya itulah hakikat sebenarnya menunjukkan sikap yang ada pada diri dan cara mereka sejak azali.
“Kekeliruan dengan mengelirukan yang akhirnya merantai dosa fitnah yang tidak pernah berkesudahan,” tulis Zahid lagi.
Dapat reaksi pelbagai
Perkongsian Zahid ternyata meraih pelbagai reaksi dari pengguna Facebook. Ada yang bersetuju dan boleh menerima penjelasannya dan ada juga yang merasakan isu ini tidak akan timbul jika pemimpin gabungan tersebut tidak terpalit dengan apa-apa isu.