fbpx
Now Reading
“Awak Keluar Dulu” – Kata-Kata Terakhir Arwah Nazihah Kepada Suami

“Awak Keluar Dulu” – Kata-Kata Terakhir Arwah Nazihah Kepada Suami

“Ketika itu semua kenderaan berhenti kerana berlaku kesesakan. Namun tiba-tiba berlaku impak rempuhan dari belakang yang menyebabkan kereta saya serta dua lagi dilanggar dengan kuat.”

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Rakyat Malaysia malam tadi (15 Oktober) digemparkan dengan kejadian kemalangan yang meragut dua nyawa di Kilometer 45.7 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan di Sedenak, Kulai, Johor.

Insiden yang berlaku sekitar jam 7.45 malam itu dipercayai berpunca dari sebuah lori yang menukar ke lorong kiri ekoran dari kesesakan jalan raya hingga mengakibatkan perlanggaran melibatkan 5 buah kenderaan.

Lebih menyayat hati apabila tular video memperlihatkan seorang lelaki, Redzuan Jamil yang meraung tatkala menyaksikan sendiri isteri tercinta, Nurul Nazihah Kamalul Arifin, 28, terperangkap dalam kereta Proton Wira mereka yang sedang dijilat api.

Arwah minta suami keluar dahulu

Memetik laporan Harian Metro, Allahyarhamah Nurul Nazihah sempat meminta suaminya untuk keluar dahulu sejurus sahaja kemalangan berlaku.

“Awak keluar dulu.”

Itulah ungkapan terakhir arwah kepada Redzuan sebelum suaminya berjaya ditarik keluar oleh orang ramai menerusi tingkap penumpang belakang.

Redzuan bagaimanapun tidak mengalah apabila terus berusaha untuk menyelamatkan isterinya yang tersepit di dalam kereta.

“Namun cubaan saya menyelamatkan isteri dengan memecahkan cermin hadapan kereta dan pintu penumpang hadapan tidak berjaya malah isteri tersepit di tempat duduk hadapan.

“Ketika itu tangki minyak kereta tiba-tiba meletup menyebabkan orang ramai menarik saya kerana api terlalu marak.

“Walaupun api marak namun saya tidak merasa bahang panas api malah isteri juga tidak memanggil nama saya apatah lagi meraung selepas dia meminta saya keluar menyelamatkan diri dahulu,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui di kediaman mentuanya.

Terasa ada impak perlanggaran dari belakang, rupanya dirempuh lori 5 tan

Mengulas mengenai insiden, Redzuan yang juga seorang ejen insurans berkata semuanya bermula sewaktu kesesakan di lebuh raya ekoran dari satu kemalangan yang berlaku berhampiran kawasan itu.

“Ketika itu semua kenderaan berhenti kerana berlaku kesesakan. Namun tiba-tiba berlaku impak rempuhan dari belakang yang menyebabkan kereta saya serta dua lagi dilanggar dengan kuat.

“Selepas beberapa ketika barulah saya menyedari sebuah lori lima tan merempuh kereta dinaiki kami sebelum orang ramai menarik saya keluar dari kereta,” katanya yang turut mengalami kesan melecur di muka.

Video temubual bersama Kosmo

@kosmoonline

“Awak keluar dahulu,” antara kata-kata terakhir Allahyarham Nurul Nazihah Kamalul Arifin, 28 kepada suaminya Redzuan Jamil, 28 yang terselamat dalam kemalangan maut di Kilometer 45.7 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara berhampiran Sedenak di sini malam tadi.

♬ original sound – Kosmo!

Sentiasa bawa isteri ke mana-mana sahaja termasuk urusan kerja

Difahamkan, beliau dan isteri dalam perjalanan ke Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri bagi menyaksikan perlawanan bola sepak di antara JDT dan Sabah FC.

Mereka sebelum itu baru sahaja selesai bertemu dengan pelanggan Redzuan. Menurut ejen insurans ini lagi, dia memang selalu membawa isterinya ke mana sahaja termasuk ketika urusan bertemu pelanggan.

“Namun saya tidak menyangka insiden memilukan ini pula menimpa kami. Kami memang akan berdua ke mana sahaja sejak berkahwin tiga tahun lalu termasuk atas urusan kerja. Saya tidak menyangka isteri akhirnya pergi dengan cara begini.” 

Jenazah arwah dalam keadaan sempurna

Dalam pada itu, bapa arwah, Kamalul Arifin Ahmad, memaklumkan jenazah arwah ditemui sempurna di dalam kereta tersebut.

“Hati saya tenteram bila dapat tahu jenazah anak (Nazihah) dalam keadaan sempurna. Sebelum tengok itu perasaan luluh tak dapat digambarkan bagaimana keadaan orang yang terbakar dalam kebakaran. Namun kakak arwah yang berada di hospital memberitahu badan, jasad arwah tidak terkupas akibat api yang membakar. 

“Mayatnya sempurna duduk di kerusi kereta, itu maklumat diperoleh dari polis. Mungkin itu semua kerana amalannya ketika hidup,” katanya kepada Utusan.

Terdahulu perkongsian terkakhir arwah di Instagram mencetuskan hiba pengguna media sosial. Arwah di dalam video tersebut memaklumkan yang beliau akan menemani suaminya itu untuk berjumpa seorang pelanggan.

Pasangan ini difahamkan baru sahaja menyambut hari ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-3 pada 30 Ogos lalu.

Malah lebih memilukan apabila arwah juga dipercayai baru sahaja menyambut hari kelahirannya yang ke-28 iaitu pada 15 September, yakni genap sebulan yang lalu.

Baca artikel berkaitan :

Baru 1 Minggu Tunai Umrah, Status & Video Terakhir Mangsa Kemalangan Di Sedenak Cetus Hiba [Video]

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.