Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami!
Follow Kami
Kebelakangan ini, isu pemandu yang lari daripada membayar tol kerap tular di media sosial, malah ia turut menimbulkan kemarahan pelbagai pihak yang melihatnya.
Apa yang menjadi persoalan ramai adalah apakah sebab utama hingga ada pengguna jalan raya yang sanggup melakukan perkara sebegitu sedangkan jumlah tol kebanyakan yang berada di sekitar Lembah Klang tidaklah terlalu mahal.
Mungkin ada pemandu yang ingin menjimatkan masa dan duit sehingga sanggup mengelak daripada membayar tol dengan cara mengikut rapat kenderaan di hadapan agar palang tol tidak tertutup.
Bagaimanapun, tidak kisahlah apa alasan sekali pun yang diberikan, perkara sebegini sememangnya tidak boleh dibiarkan dan harus ditangani.
Pemandu kereta ditahan, tak bayar tol sebanyak 59 kali
Susulan itu, menerusi ciapan di laman Twitter akaun @SILKHighway, pemandu kereta Honda yang tidak membayar tol sebanyak 59 kali akhirnya berjaya ditahan dalam satu operasi.
Difahamkan, kejadian tersebut berlaku di Lebuhraya Kajang SILK melibatkan sebuah kereta jenis Honda City berwarna putih.
Jumlah kerugian RM256.20 perlu dibayar pada waktu itu
Ketika ditahan, pemandu culas bayar tol itu juga diarah untuk membayar kembali ganti rugi sebanyak RM256.20 pada waktu itu juga.
Nilai tersebut adalah termasuk jumlah 59 tol yang tidak dibayar selama ini dan juga yuran pentadbiran yang dikenakan kepada pemandu itu.
“Jangan cuba elak bayar tol tau!” – SILKHighway
Di samping itu, laman Twitter berkenaan turut menasihati orang ramai agar tidak mengelak daripada membayar cas tol yang dikenakan.
“Pesanan untuk semua, jangan cuba elak bayar tol tau! Buat malu geng pakai ‘H’ (Honda) je,” tulisnya.
Meninjau di ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial menunjukan rasa kurang senang dengan hukuman yang diberikan kerana dianggap tidak setimpal, seharusnya hukuman yang lebih berat dikenakan pada pemandu tersebut.