fbpx
Now Reading
Menteri Agama Mohon Aksi Final Piala AFC 2022 Dilewatkan Selepas Solat Maghrib

Menteri Agama Mohon Aksi Final Piala AFC 2022 Dilewatkan Selepas Solat Maghrib

Beliau dalam masa sama turut meminta Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dan Jabatan Agama Islam Wilayah untuk menyediakan ruangan solat agar dapat memudahkan para penonton di sana.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Umum mengetahui malam ini 22 Oktober bakal berlangsung aksi Final Piala AFC 2022 yang ditunggu-tunggu ramai peminat bola sepak tempatan di antara Kuala Lumpur (KL) City FC dan juga kelab dari Oman, Al-Seeb di Stadium Bukit Jalil.

Namun apa yang mengejutkan orang ramai adalah jadual sepak mula perlawanan iaitu pada pukul 7 malam, di saat azan maghrib sedang berkumandang.

Perkongsian tersebut yang dimuat naik KL City FC kemudiannya mendapat perhatian peminat yang menyifatkan pemilihan waktu yang ditetapkan oleh pihak AFC agak kurang sesuai kerana ia akan menyukarkan penonton malahan pemain sendiri untuk mengerjakan solat fardu.

Sehubungan itu Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad meminta agar perlawanan dilewatkan sedikit bagi memberi ruang kepada penyokong untuk solat Maghrib.

Beliau yang tampil dalam satu kenyataan di Facebook pada Jumaat (21 Okt) berkata, permintaan itu telah dimaklumkan kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Faizal Azumu.

“Saya telah menghubungi Menteri KBS, Datuk Seri Faizal Azmum memaklumkan permintaan melewatkan sedikit perlawanan akhir AFC yang menemukan wakil negara kita KL City dan wakil negara Oman Al Seeb, bagi memberi ruang para penyokong untuk Solat Maghrib.”

Minta JAWI dan Yadim sediakan surau

Beliau dalam masa sama turut meminta Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dan Jabatan Agama Islam Wilayah untuk menyediakan ruangan solat agar dapat memudahkan urusan para penonton di sana.

“Pada masa sama, saya juga meminta Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) untuk menyediakan ruangan solat bagi kemudahan para penonton dan mungkin boleh memberi pendedahan praktikal mudah untuk mengambil wuduk yang menyenangkan penonton untuk solat.

“Saya juga telah meminta pihak JAWI untuk membawa kemudahan surau bergerak mereka. Jadi, harapan saya semua penonton yang muslim boleh tunai solat dengan tenang. Saya doakan juga kemenangan KL City dengan penuh bergaya.”

Setakat artikel ini ditulis, tiada sebarang perubahan waktu sepak mula yang telah diumumkan Persatuan Bola Sepak Asia.

Sebagai rekod Johor Darul Ta’zim (JDT) merupakan satu-satunya pasukan dari Malaysia yang pernah menjuarai Piala AFC iaitu pada 2015 dengan menumpaskan pasukan dari Tajikistan, Istiklol, 1-0.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.