“Terkejut & Gementar Seluruh Badan,” – Wanita Tak Tahu Dirinya Hamil, Tiba-Tiba Beranak ‘Bayi Ajaib’
Eykaa menyatakan pada awalnya dia merasakan ketidakselesaan pada bahagian perut sebelum melahirkan bayi tersebut di atas sofa dan disambut oleh suaminya.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Setiap pasangan yang berkahwin sudah tentu memiliki impian untuk mendapatkan zuriat. Oleh itu, ada yang mula membuat perancangan keluarga seperti berapa anak yang dimahukan dan sebagainya.
Bagi wanita pula, untuk mendapatkan anak ada yang mula membuat perancangan seperti melihat waktu subur, mengamalkan pemakanan sihat dan mengambil suplemen tambahan untuk memastikan badan memiliki vitamin yang cukup.
Wanita tiba-tiba lahirkan anak, tak tahu diri sedang mengandung
Namun berbeza dengan seorang wanita ini apabila dia secara tiba-tiba melahirkan seorang anak malah langsung tidak mengetahui dirinya berbadan dua sebelum itu.
Difahamkan ini kerana dia di dalam tempoh ini didatangi haid seperti biasa pada setiap bulan.
Perkara itu telah dikongsikan oleh Eykaa Ikaa menerusi hantaran di Facebook yang menyatakan dia juga sentiasa memakan pil perancang pada setiap bulan untuk mengelakkan diri dari hamil.
Suami sambut kelahiran ‘bayi ajaib’
Menurut Eykaa, dia melahirkan ‘bayi ajaib’ itu pada 19 Oktober lalu, jam 8.45 pagi dan telah disambut oleh suaminya sendiri serta disaksikan oleh anak sulung yang berusia 1 tahun 2 bulan.
“Sebelum saya bersalin, malam tersebut dalam jam 1 pagi rasa seperti perut masuk angin dan muntah beberapa kali. Apabila keesokan harinya, rasa tidak selesa di perut makin terasa seolah-olah sembelit ingin membuang air besar.
“Saya masuk ke dalam bilik air beberapa kali tapi rasa tidak selesa di perut makin menjadi. Saya membuat keputusan untuk ajak suami ke hospital tetapi disebabkan sudah tidak tahan, saya melahirkan bayi perempuan di atas sofa dengan disambut oleh suami,” kata Eykaa.
Jelas wanita itu lagi, dia kemudian meminta suaminya untuk menghubungi ambulans dan sebelum ia tiba bapa kepada anaknya itu telah mengikat tali pusat dengan menggunakan tali kasut.
Terkejut & gementar seluruh badan sebab tak tahu diri hamil
Situasi tersebut membuatkannya serta suami terkejut dan gementar seluruh badan kerana selama 9 bulan tidak menyedari bahawa dirinya sedang hamil.
Eykaa dalam masa sama turut memanjatkan kesyukuran kerana bayi perempuan yang dilahirkan selamat dan sempurna.
“Sepanjang 9 bulan, saya tidak menyedari kehadiran janin di dalam rahim saya. Kerana tidak merasa sebarang pergerakan dan perut tidak membuncit begitu besar seperti pengalaman mengandung anak pertama dahulu.
“Perut besar, hidung kembang dan semuanya kembang. Syukur bayi saya sihat dan sempurna walaupun tidak pernah menerima sebarang rawatan.
“Sepanjang kehamilan juga saya tidak membuka rekod kesihatan ibu di klinik kesihatan dan sudah pasti tiada sebarang rekod kesihatan ibu dan anak di klinik kesihatan. Syukur Allah melindungi dan menjaga anak dalam kandungan sehingga lahir ke dunia,” jelasnya lagi dalam hantaran itu.
Meninjau di ruangan komen, ramai yang teruja dengan perkara itu dan tidak kurang juga ada yang berkongsi pengalaman mereka yang mengalami situasi yang sama dengan Eykaa.